Malaysia Dateline

Dihempap palang gol ketika aktiviti sukan murid 11 tahun disahkan maut

Dihempap palang gol ketika aktiviti sukan seorang murid 11 tahun disahkan maut ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Kejadian malang itu menyebabkan murid tahun lima sekolah rendah di Pekan Menggatal Kota Kinabalu cerdera parah di kepala.

Dalam kejadian 12.20 tengah hari, mangsa lelaki berusia 11 tahun terbabit disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Likas, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dihempap besi palang gol ketika aktiviti sukan tahunan sekolah di padang berkenaan.

“Kejadian disedari oleh bapa mangsa dan juga guru yang bertindak menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan segera.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian menurut polis tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Semalam, rakaman video kejadian berdurasi 14 saat itu memaparkan kanak-kanak terbabit diangkat menggunakan pengusung oleh pasukan perubatan tular di media sosial.

Berdasarkan pengamatan pada video berkenaan, besi palang pada tiang gol itu dipercayai patah sebelum menghempap mangsa.

Baca juga: Direman dan sesal hilang adik pasti si kakak derita dengan air mata-Tregedi dua beradik terus buat netizen berasa sebak