Usahawan muda, Khairul Aming menjadi sorotan ramai selepas membuat pengakuan bahawa dirinya masih solo dan belum mempunyai calon isteri, baru-baru ini.
Pendedahan tersebut telah menyebabkan personaliti media sosial terbabit menerima banyak mesej lamaran daripada ramai wanita menerusi akaun media sosial miliknya.
Menghargai ‘lamaran’ yang diterima, usahawan berusia 32 tahun itu bagaimanapun memaklumkan bahawa dirinya tidak mampu untuk membalas semua mesej tersebut.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman itu juga mengakui bahawa dirinya belum sempat lagi mencari calon isteri kerana masih sibuk meniaga, lapor Gempak.
“Saya dan kawan buat video itu sebagai hiburan sahaja. Tetapi DM (pesanan secara terus) saya penuh dengan orang hantar lamaran nak ajak kahwin. Saya nak ucapkan terima kasih tetapi tak mampu nak balas semua.
“Nak kata tengah mencari itu kalau ada rezeki, adalah. Tetapi saya tengah sibuk berniaga sekarang. Duit kahwin Insya-Allah ada. Tetapi duit perniagaan kena teruskan mencari juga sebab ramai pekerja kena jaga,” katanya memetik laporan Gempak.
Ketika ditanya jika dirinya terbuka menerima calon isteri di dalam kalangan pengikutnya, Khairul Aming berkata dirinya hanya berserah kepada Tuhan mengenai hal jodoh.
“Jodoh ditangan Tuhan. Saya terima sahaja yang penting serasi, memahami cara kerja, karier saya, sefahaman dan tiada masalah. Saya okay sahaja, boleh terima.” Ujarnya.
Terdahulu, tular satu rakaman di platform TikTok memaparkan pengakuan dari ahli perniagaan terbabit mengenai status dirinya yang masih solo dan tiada calon isteri.
Dengan nada ceria, Khairul Aming menjelaskan bahawa fokusnya kini adalah mahu mencari duit dahulu sebelum memikirkan tentang jodoh ataupun alam rumah tangga.
Usahawan kelahiran Kelantan itu juga sempat berseloroh kepada pengguna TikTok untuk mencarikan calon isteri buatnya kerana belum memiliki pilihan hati setakat ini.
Baca juga: Setahun tiada ‘job’, Norlia Ghani kini jadi pempengaruh TikTok, sehari boleh kaut sampai RM800