Dihukum penjara 12 tahun, bekas Perdana Menteri sambung belajar

Oleh KIM SYAZIE

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat pasca siswazah di dalam penjara.

Najib Razak kini berada di penjara Kajang kerana dihukum penjara 12 tahun akibat menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Tidak ingin membuang waktu selama bertahun-tahun, beliau mengambil keputusan untuk menambah ilmu sambil mengisi masa lapangnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menyifatkan tindakan Najib itu sebagai perkara biasa.

Menurutnya, terdapat ramai banduan negara ini yang melanjutkan pelajaran ketika menjalani hukuman di dalam penjara.

Bukanlah satu perkara yang luar biasa, ada pesalah yang mengikuti pengajaran sehingga tamat di peringkat doktor falsafah (PhD).

“Najib kini mengisi masanya dengan melanjutkan pelajaran di peringkat pascasiswazah,” kata Saifuddin yang memberi perkembangan semasa di Kajang.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menafikan bahawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai akses kepada internet ketika di penjara.

Katanya, walaupun sedang berada dalam penjara, Najib mempunyai pasukannya sendiri khusus untuk mengurus akaun media sosial miliknya.

“Saya dimaklumkan mereka ada ‘username’ dan ‘password’ serta mereka boleh memuat naik pandangannya di media sosial,” ulasnya.

Baca juga: “Welcome!”, hantaran terbaru di Facebook Najib dituju pada siapa?