Dijamin lazat hingga menjilat jari, ini resepi Sambal Tempoyak Goreng versi ‘express’

Oleh WAN SITI AMINAH

Sambal Tempoyak Goreng merupakan sejenis hidangan yang jarang didengar namun begitu popular dan diminati peminat raja buah.

Merupakan salah satu makanan tradisional masyarakat nusantara, sambal ini sangat lazat dan enak kerana ia berjaya menggabungkan rasa manis, masam serta pedas.

Buat anda yang teringinkan kelainan, berikut kami sertakan resepi Sambal Tempoyak Goreng dikongsikan oleh pengguna media sosial dikenali sebagai snfkitchen_90.

Bahan-bahan:

  • Secawan tempoyak
  • Lima biji cili merah (kepedasan mengikut selera)
  • Tiga ulas bawang merah
  • Dua ulas bawang putih
  • Satu inci lengkuas
  • Satu batang serai (diketuk)
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

1. Hiriskan bahan-bahan berikut dengan halus; cili, bawang merah, bawang putih, lengkuas, dan juga serai.

2. Panaskan minyak di dalam kuali.

3. Tumiskan semua bahan yang telah dihiris sehingga harum dan berubah warna.

4. Tambahkan tempoyak ke dalam kuali dan kacau rata dengan bahan-bahan yang telah ditumis sebentar tadi.

5. Tumis sehingga tempoyak masak dan keluar minyak. Jangan lupa kacau tumisan dengan perlahan agar tidak meletup.

6. Tambahkan garam dan gula secukup rasa mengikut selera anda.

7. Masak sehingga minyak keluar di permukaan dan tekstur sambal tempoyak tersebut menjadi seperti yang anda inginkan.

8. Angkat dari kuali dan sambal anda sudah siap untuk dinikmati dengan nasi panas!.

Baca juga: Jaga penampilan, Zainal Abidin akui cucuk botox, nak muka nampak sihat dan tegang