Malaysia Dateline

Dijangkiti Covid-19, 3,570 penduduk Simpang Renggam diperintah ‘berkurung’

Bermula tengah malam ini Kampung Dato’ Ibrahim Majid di daerah Simpang Renggam, Kluang, Johor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ekoran jumlah kes yang tinggi di kawasan tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dikenakan perintah sama ialah Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid.

Pengumuman itu menyaksikan kali pertama langkah PKPD dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.

“Sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan itu kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan memutuskan untuk melaksanakan PKPD,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau memberitahu semua penduduk tempatan dan pelawat yang berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Tegasnya, bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

Ismail berkata, tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut.

Menurutnya, PKPD itu membabitkan 3,570 penduduk tempatan daripada 650 keluarga dan akan berkuat kuasa mulai tengah malam ini sehingga 9 April.

“Semua aktiviti perniagaan dihentikan. Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD dan semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup,” jelasnya.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan bagi memastikan pematuhan perintah tersebut.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.