Dikecam kerana tak bertanggungjawab sebagai bapa, ND Lala akhirnya bersuara

Oleh WAN SITI AMINAH

Sekian lama berdiam diri, penyanyi era 80-an, Datuk ND Lala akhirnya memilih untuk bersuara mengenai masalah yang sedang dihadapi keluarganya.

Hal ini berikutan akaun sosial media Instagram milik bapa kepada penyanyi, Shila Amzah itu dipenuhi dengan kata-kata berbentuk kecaman daripada orang ramai.

Pemilik nama sebenar Amir Amzah Salleh itu dikatakan telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa dalam mendidik anak-anak dengan baik.

Lelaki berusia 62 tahun itu juga dilihat seperti melarikan diri daripada masalah setelah berkahwin buat kali kedua dan menceraikan isteri pertamanya, Fauziah Sarman.

Pengguna media sosial juga berpendapat bahawa masalah ini berpunca daripada ND Lala kerana tidak menyediakan tempat tinggal kepada ahli keluarganya sendiri.

Komen-komen tersebut ditinggalkan warga maya di ruangan komen hantaran yang dimuat naik oleh ND Lala di laman Instagram bersama pemain bola sepak tempatan.

Tidak mendiamkan diri, ND Lala akhirnya memberi respon kepada tuduhan bahawa penyanyi itu tidak peduli dengan masalah yang sedang menyelubungi keluarganya.

Enggan menjawab persoalan, ND Lala tidak mahu berbincang berhubung masalah keluarganya di ruangan komen berikutan hantaran itu adalah mengenai bola sepak.

“Tajuk perbualan kita di sini adalah tentang bola sepak. Kita membina perhubungan yang baik dan rasa hormat-menghormati sesama kita melalui sukan bola sepak.

“Terima kasih kerana memberi komen yang baik dan mengekalkan adab budaya kita,” tulis ND Lala membalas komen hentaman yang ditinggalkan oleh pengikutnya.

Terdahulu, kontroversi mula tercetus selepas adik bongsu Shila, Syada Amzah mendakwa sedang mencari rumah sewa kerana dihalau daripada kediaman lamanya.

Rentetan daripada itu, satu demi satu masalah mula terbongkar termasuk dakwaan bahawa Shila ingin menjual rumah kerana ingin mendapatkan keuntungan lumayan.

Shila kemudian tampil menjelaskan mengenai tujuan sebenar penjualan rumah selain mendedahkan dirinya perlu bekerja sejak kecil untuk menanggung ahli keluarga lain.

Anak sulung ND Lala itu mengaku mahu menjual banglo miliknya itu kerana ingin menyediakan sebuah rumah lain yang lebih selesa dan berpatutan untuk didiami keluarganya.

Baca juga: Pilih kahwin dengan majikan sendiri, lelaki teruk dikecam orang ramai