Dikecam lepas kritik pekerja persoal baju koyak tak diganti, CEO Pos Malaysia mohon maaf

Oleh MALAYSIADATELINE

Negara Malaysia semakin maju namun masih mengharapkan bantuan orang luar untuk meneraju perkhidmatan yang sudah berkurun lama ada di sini.

Tular baru-baru ini seorang kakitangan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), Muhamad Firdauss Rohani berkongsi mengenai bajunya terkoyak dan berharap pihak atasan dapat memberikannya yang baru selepas ditegur pelanggan.

Namun balasan sinis diberikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Charles Brewer buat pekerja tersebut.

“Anggap diri anda bertuah kerana anda tidak bekerja untuk salah satu syarikat penghantaran luar negara yang tidak menyediakan pakaian seragam sama sekali,” komen ditulis Charles Brewer.

Disebabkan sudah tular dan menaikkan kemarahan rakyat Malaysia yang memintanya untuk letak jawatan, Pos Malaysia memaklumkan pihak mereka sudah menyelesaikan isu itu lapor Harian Metro.

“Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan kami, Charles Brewer, dengan rasa rendah diri sudah menyampaikan permohonan maaf kepada kakitangan yang terkesan dan ingin memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan beliau sebelum ini.

“Beliau dengan jujur mengakui bahawa respon beliau seharusnya lebih berempati, dan dengan tekad yang kuat.

“Beliau berjanji untuk terus membina budaya kerja yang saling menghormati serta menyokong semua warga Pos Wira,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, Pos Malaysia memaklumkan pihaknya akan memastikan proses dalaman ditambah baik dan penggantian pakaian seragam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Komitmen itu dilakukan untuk memastikan setiap anggota Pos Wira dapat berkhidmat dengan selesa dan penuh keyakinan dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Terima kasih atas perhatian dan sokongan anda,” katanya.

Baca juga: SPRM kesan sindiket penjualan bayi, ada individu tawar bayaran hingga RM50k