Malaysia Dateline

Dikompaun jika berada di luar rumah selepas  jam 8 malam di Bintulu

Pihak polis mengingatkan masyarakat di Bintulu supaya tidak berada di luar rumah tanpa alasan munasabah selepas jam 8 malam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli berkata, pihaknya akan menahan individu yang berada di luar rumah selepas waktu itu dan bakal dikenakan kompaun serta merta.

“Kita tidak akan berkompromi malah akan mengenakan kompaun dan menahan indvidu yang berada di luar seperti di Bandar Bintulu selepas jam 8 malam.

“Semalam (kelmarin) kita telah mengeluarkan tiga kompoun ke atas tiga individu yang masih berkeliaran tanpa alasan sekitar jam 9 malam,” tegas beliau.

Jelasnya, pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digerakkan bagi memastikan masyarakat kekal mematuhi arahan terbaharu standard operasi prosedur (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bahagian ini.

“Sekatan jalan raya akan diteruskan untuk memastikan tidak ada kenderaan masuk ke kawasan Bandar Bintulu kecuali atas faktor keselamatan, kesihatan dan alasan yang munasabah.

“Melalui SOP baharu yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian ( JPBB ) Bintulu, Jack Aman Luat Isnin lalu, penguatkuasaan bagi PKPB telah bermula sejak 27 April lalu hingga 10 Mei depan,” tambahnya.