Dilabel sebagai daging kambing, aktivis selamatkan ribuan kucing dari disembelih

Oleh WAN SITI AMINAH

Kumpulan aktivis haiwan baru-baru ini dikejutkan dengan penemuan beberapa kotak kayu berisi kucing yang dipaku di tanah perkuburan.

Mengejutkan, ribuan ekor kucing malang itu rupa-rupanya diburu untuk dijual ke sebuah restoran yang menghidangkan makanan berasaskan sate dan juga sosej.

Tidak mengambil tindakan terburu-buru, kumpulan aktivis itu mengambil masa enam hari untuk mengintip kegiatan dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab tersebut.

Mereka turut memerhatikan pergerakan serta laluan yang diambil oleh pemandu trak yang mengambil sangkar kayu kucing itu sebelum meminta bantuan dari pihak polis.

Difahamkan, aktivis tersebut menghubungi polis selepas mereka berjaya memintas dan menahan trak yang sedang dalam perjalanan ke rumah penyembelihan kucing.

Haiwan itu dipercayai akan disembelih dahulu sebelum dijadikan makanan seperti sate lidi dan sosej kemudian dijual sebagai daging kambing, daging lembu atau babi.

Memetik laporan The Paper, restoran yang menjual hidangan berkenaan terletak di kawasan Zhangjiagang, daerah di bandar Suzhou di wilayah Jiangsu, Nanjing, China.

Perbuatan keji sindiket itu akhirnya berjaya dibanteras apabila polis China memeriksa trak tersebut ekoran aduan yang dibuat oleh kumpulan aktivis pada 12 Oktober lalu.

Lebih 1,000 kucing yang diletakkan dalam puluhan peti kayu itu berjaya diselamatkan oleh pihak polis sebelum dipindahkan ke taman sementara yang dijaga sukarelawan.

Salah seorang aktivis haiwan iaitu Gong Jian memaklumkan, taktik memperdayakan pelanggan dengan daging kucing memberi keuntungan lumayan kepada peniaga.

“Daging kucing dijual pada harga 4.50 yuan (RM2.94) bagi satu paun atau 0.45 kilogram (kg) tetapi di pasaran, daging kambing boleh dijual dengan harga 30 yuan (RM19.63) bagi 0.45kg.

“Menjual daging kucing dengan berat sekitar empat hingga lima paun sebagai daging kambing atau daging babi, (peniaga) memperoleh keuntungan berdasarkan perbezaan keseluruhan harga,” katanya.

Sementara itu, butiran mengenai kucing yang diselamatkan seperti baka dan warna bulu turut dipaparkan di media sosial supaya pemilik dapat menuntutnya kembali.

Baca juga: “Saya hanya ikut arahan”, lelaki ini tusuk dua batang paku pada buah zakar sendiri