Seorang wanita mendakwa dirinya dilarang masuk ke sebuah Balai Polis di daerah Perak kerana telah melanggar kod etika pakaian di bangunan kerajaan.
Wanita tersebut dimaklumkan oleh anggota polis untuk memakai skirt melebihi paras lutut sebelum dibenarkan membuat urusan di balai berkenaan.
Menyedari kesilapannya, wanita tersebut meminta masa lima minit daripada anggota polis berkenaan sebelum beredar meninggalkan kaunter.
Apa yang muncul di benak fikirannya pada waktu itu adalah mahu memandu pulang ke rumah untuk menukar ke pakaian lebih sopan.
Namun, wanita tersebut tiba-tiba mendapat ilham saat mendekati kenderaannya dan ternampak sarung kusyen yang dipasangkan di kerusi kereta.
Wanita yang dikenali sebagai Jeanne itu membuat keputusan untuk menggunakan sarung kusyen tersebut sebagai skirt labuh melebihi paras lutut.
Mematuhi kod etika pakaian, sarung kusyen itu dililitkan pada bahagian pinggang sebelum diikat dengan jaket miliknya bagi memastikan ‘skirt’ tersebut tidak londeh.
Jeanne kemudian kembali ke balai polis bersama pakaian baru miliknya dan diberi kebenaran untuk menjalankan urusan di premis terbabit.
Kakitangan balai tersebut juga dikatakan memuji tindakan cerdas Jeanne dengan menunjukkan isyarat ibu jari tanda ‘bagus’ kepadanya.
Tular di media sosial, kejadian tersebut diceritakan semula oleh Jeanne menerusi satu hantaran di laman kumpulan Facebook penduduk Bukit Indah.
“Dia (pegawai) akhirnya membenarkan saya masuk. Mereka (kakitangan balai polis) semua ketawa sehingga tidak boleh bercakap.
“Saya tidak tahu sama ada saya cukup bertuah untuk menyertai Pertandingan Kostum Paling Kreatif pada tahun ini.
“Tidak ada kain sarung untuk dipinjam di balai polis ini. Saya hampir pulang ke rumah untuk menukar pakaian.” Tulis Jeanne di postingan tersebut.