Malaysia Dateline

Dilema bekas penyokong Azmin, DAP dan AMANAH dipohon membantu

Sekitar 10 hingga 15 pemimpin termasuk ahli Parlimen dan menteri besar dari PKR yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kini dalam dilema apakah mereka perlu kekal dalam PKR atau keluar meninggalkan parti itu.

Ini kerana, mereka beranggapan, kedudukan mereka tidak akan selamat lagi dalam parti itu dan besar kemungkinan mereka tidak akan mendapat sebarang kerusi lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya yakin tidak akan dipilih lagi sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang walaupun saya kekal dalam PKR.

“Tetapi untuk lari meninggalkan PKR dan PH, itu bertentangan dengan perjuangan kami pula,” kata salah seorang pemimpin PKR berkenaan kepada Malaysia Dateline.

Dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, katanya, beliau sendiri cuba dipindahkan ke kerusi Parlimen yang lain berbanding kerusi tradisinya kerana kesilapan lampau iaitu menyokong Azmin atau dikenali sebagai ‘geng kartel’.

Bagi beliau, harapan yang tinggal kepada mereka sekarang adalah AMANAH dan DAP yang menjadi kerabat PKR dalam Pakatan Harapan.

“Kami sangat berharap kepada AMANAH dan DAP untuk bertegas dalam isu ini. Nak kami kekal dalam PH atau menolak kami keluar,” kata beliau lagi.

Ketika mereka berhadapan dengan faktor menolak dari dalam PKR sendiri, ada faktor menarik dari kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri agar mereka menyertai beliau dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ikutkan idealism, kami tidak akan lari dari PH tetapi kalau kami sudah tidak ada jalan, apa yang boleh kami buat,” kata beliau lagi.

Hari ini, salah seorang dari tokoh utama yang menyokong Azmin dalam pemilihan PKR ketika beliau berdepan dengan Rafizi Ramli bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan keluar dari parti itu.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa, yang merupakan penyokong kuat kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan, tujuh hingga lapan lagi MP PKR akan menurut jejak langkah Xavier meninggalkan parti itu.

Perkara itu, kata Annuar, dimaklumkan sendiri oleh Xavier kepada beliau.

Walaupun Annuar Musa memberikan alasan mereka berbuat demikian kerana menyokong langkah kerajaan PN dalam menangani Covid-19, adalah dipercayai punca sebenar mereka berbuat demikian adalah kerana dilema yang dihadapi mereka.

Bagi sesetengah pemimpin PKR pula, mereka perlu mengambil sikap mengenepi kumpulan ini kerana mereka menyokong pengkhinat parti.

Namun bagi kumpulan ini pula, mereka menyokong Azmin dahulu ketika beliau berada dalam parti tetapi selepas keluar dan mengkhianati parti, mereka sudah tidak bersama Azmin lagi.