Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, sebahagian besar penjaja sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur meletakkan harapan tinggi agar mereka dijadikan tumpuan utama dalam bajet yang akan dibentangkan Februari depan.
Hasil tinjauan sebuah portal tempatan bagi mengetahui permasalahan dan harapan mereka, kebanyakannya berdepan dengan masalah dihimpit masalah modal yang kecil di tengah-tengah kenaikan harga barangan mentah.
Seperti seorang peniaga ayam gunting Uncle Bob, Siti Nur Amali, 32, berkata, dia sangat memerlukan bantuan kewangan dari kerajaan untuk menyokong penjaja kecil sepertinya terus bertahan dalam keadaan ekonomi meleset.
Luahnya, banyak peniaga lain terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos bahan mentah yang mahal seperti ayam, sotong, minyak, tepung dan bahan-bahan lain.
Bahkan demi bersaing dengan peniaga lain, Nur Amali terpaksa mengekalkan harga jualan ayam gunting sekitar RM10.50, sedangkan harga pasaran sudah meningkat kepada RM12 hingga RM15.
“Saya harap dapat sedikit bantuan kewangan dari kerajaan supaya dapat sokong penjaja kecil seperti saya.
“Kerajaan dahulu pernah bagi bantuan one-off di bawah program pembiayaan mikro sekitar RM1,000, dan harap-harap kerajaan baru ini dapat teruskan bantuan tersebut.
“Sekarang ini beli barangan mentah pun terpaksa rolling dari duit jualan. Untung tak dapat banyak. Nak upah pekerja pun tak mampu. Terpaksa suami tolong sekali sekala selepas dia pulang kerja,” katanya memetik laporan Harapan Daily.
Harapan Nur Amali juga besar agar kerajaan mengutamakan mereka sama seperti penjawat awam lain yang setiap tahun mendapat berita gembira dari segi kenaikan gaji tahunan, dan bonus musim perayaan.
Pada masa sama, ibu kepada tiga anak ini juga memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempermudahkan urusan para penjaja di sekitar itu untuk mendapatkan lesen perniagaan.
Dalam lima peniaga ditemui, kesemua mereka mengakui masih menunggu lesen dikeluarkan oleh pihak DBKL.
“Boleh terima kalau nak relocate kami, tapi saya harap kami dapat kawasan hot spot. Jangan letak tempat tak strategik sebab pendapatan kami cuma bergantung pada pelanggan sahaja.
“….dan kalau boleh kami mahukan DBKL permudah urusan kami para peniaga untuk mendapatkan lesen. Kami tak ada masalah nak bayar lesen, tapi selalunya bila nak mohon tu banyak betul kerenah, segalanya jadi renyah. Macam-macam dokumen kena beri tapi lesen tak dapat juga,” katanya.
Sementara itu, kenaikan barangan mentah ini turut dirasai Muhamad Khairul Ashaari, 35 yang menjalankan perniagaan di sekitar medan selera Kampung Bharu dengan menjual pelbagai jenis kuih muih dan air balang.
Dia mengakui terkesan apabila seguni tepung yang mempunyai 25 paket tepung, kini berharga RM75 di pasaran berbanding harga standard RM48.50.
Kekurangan minyak masak paket di pasar raya juga membuatkan Muhamad Khairul berdepan keadaan sukar kerana terpaksa menggunakan minyak botol yang lebih mahal.
“Bila guna minyak botol, 1kg minyak itu berharga RM6 jika dibandingkan harga minyak paket berharga RM2.50.
“Tepung sekarang naik kepada RM75 seguni. Telur di sekitar pasar Chow Kit pun susah dah nak dapat.
“Jadi macam mana kita nak berniaga. Saya nak jual mahal pun serba salah. Terpaksa kecilkan bentuk kuih. Pelanggan tetap saya nampaklah perubahan saiz kuih saya, mereka tegur juga. Tapi mereka pun faham barang mahal,” ujarnya sambil menyatakan harapan agar barangan asas dikawal sebaiknya oleh kerajaan supaya tidak berlaku peningkatan yang tidak sepatutnya.
Baca juga: Lagi kes Mat Saleh mengemis duit di kaki lima, rakyat Malaysia gesa imegresen segera ambil tindakan