Malaysia Dateline

Dilema PKR: Jika Ezam berjaya, ramai lagi pemimpin keluar parti

Jika gerakan yang dibuat oleh Gerakan Reformasi 98 atau Gerak 98 pimpinan Ezam Mohd Nor berjaya, PKR bakal kehilangan ramai lagi pemimpin dan penyokongnya sekarang.

Ini kerana, antara gerakan dan kempen yang dilakukan adalah menolak pimpinan parti dan bakal calon yang dikenalpasti menyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR.

“Dalam PKR, lebih dari separuh ahlinya telah menyokong Azmin dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR sebelum ini.

“Jika kesemua mereka ini dimasukkan ke dalam kumpulan ‘menyokong Azmin Ali’, maka kesemua mereka akan dihalau atau sekurang-kurangnya diragui kesetiaan mereka kepada PKR termasuk seorang menteri besar,” kata seorang pemimpin PKR yang pernah menyokong Azmin sebelum ini kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas satu sidang media yang akan dibuat oleh Gerak98 pimpinan Ezam Mohd Nor yang kini mahu kembali kepada PKR.

Menurut poster sidang media yang akan diadakan pagi esok di sebuah restoran, tajuk sidang media itu adalah “Tolak pimpinan parti/Bakal calon yang dikenalpasti menyokong Azmin Ali.”

Sebelum ini, ramai pemimpin PKR yang dikenalpasti sebagai penyokong Azmin lari meninggalkan parti itu dan bersama Azmin menyertai Bersatu, sebuah parti yang penubuhannya bertujuan menggantikan Umno atas dasar perjuangan untuk orang Melayu.

Namun baru-baru ini, perlembagaannya telah diubah bagi membolehkan orang bukan Melayu juga menyertai parti itu.

“Adakah gerakan ini mahu menghalau kami dan tidak lagi memberikan harapan kepada kami untuk diterima sebagai pemimpin atau calon PKR dengan alasan kami menyokong Azmin sebelum ini.

“Atau gerakan ini mahu menghalau penyokong Azmin sekarang, selepas Azmin khianat kepada perjuangan.

“Ini kerana kami menyokong Azmin dahulu kerana kami nampak dia bagus, bekerja bukan bercakap sahaja tetapi selepas beliau mengkhianati perjuangan, kami tidak bersama dia lagi,” kata pemimpin PKR yang tidak mahu namanya disebutkan itu.

Menurut beliau, ramai pemimpin dan penyokong PKR sekarang termasuk dalam kategori ini dan mereka dalam dilema.

“Apakah kami masih ada masa depan dalam parti. Kalau tak ada baik kami keluar sekarang dari membuang masa di sini,” kata beliau.

Sidang media yang dibuat oleh Azmin bersama penyokongnya sebelum ini. “Apakah kami masih layak duduk dalam PKR,” tanya seorang pemimpin PKR yang turut berada dalam gambar ini.

Sebelum ini, dalam satu sidang media di sebuah hotel, Azmin memaparkan penyokong beliau termasuk yang masih kekal dalam PKR sekarang.

Baru-baru ini, salah seorang dari mereka, Dr Xevier Jayakumar telah keluar PKR.

EZAM BUKAN AHLI PKR

Pada 14 Jun 2020, media melaporkan, Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor mengesahkan sudah menghantar borang untuk menyertai semula Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Ezam, borang yang dihantar pada awal Ramadan lalu sudah pun dalam pengetahuan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sedang diproses.

Namun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil memberitahu, Ezam masih belum diterima menjadi ahli PKR semula.

Beliau mengaku, sentimen kebencian di kalangan ahli PKR sangat kuat terhadap pengkhianat parti itu.