Malaysia Dateline

‘Dinamika politik Sabah bergantung pada PBS, parti bebas lain’

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat pembentukan kerajaan baharu Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) bergantung pada keputusan muktamad beberapa parti tertentu.

Menurutnya, keputusan yang menyaksikan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala tiga kerusi dimenangi calon Bebas akan menentukan kerajaan baharu selepas PRN kali ke-16 semalam.

“Dinamika politik Sabah ini juga akan bergantung pada PBS dan parti Bebas yang lain yang pasti akan membuat keputusan dalam beberapa jam ini,” ujarnya.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian ketika ditanya pemberita dalam sidang media selepas perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Pandan di Ampang hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat PRN Sabah yang menyaksikan Warisan Plus memenangi 32 daripada 73 kerusi DUN sebagai sangat menarik.

“Walaupun Datuk Seri Shafie Apdal menerima tekanan yang begitu kuat, pertandingan dengan banyak penjuru tetapi dengan kemampuan Warisan Plus mendapat 32 kerusi, saya rasa itu pencapaian yang cukup baik,” katanya.

Menurutnya lagi, pencapaian Warisan Plus itu juga berlaku walaupun hanya diberi peluang dua tahun memerintah Sabah.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi DUN, Barisan Nasional (BN) menang 14 dan PBS meraih tujuh kerusi yang ditandingi, menjadikan keseluruhan 38 kerusi DUN.

Ketiga-tiga parti itu berpayung di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Tiga lagi kerusi DUN dimenangi oleh calon Bebas.

Gabungan Warisan Plus pula memperoleh 32 kerusi DUN dengan Warisan menang 29 kerusi DUN, PKR (2) dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meraih satu kerusi.

Parti yang bertanding perlu memperoleh sekurang-kurangnya 37 kerusi untuk menang dengan majoriti mudah dalam PRN Sabah.

Untuk rekod, Yang Dipertua Sabah perlu melantik ketua sebuah parti yang telah menang dalam pilihan raya umum sebagai Ketua Menteri dan diyakini mampu mendapat sokongan majoriti daripada DUN mengikut Artikel 6(7) Perlembagaan Sabah.

Warisan adalah parti berdaftar yang memenangi majoriti kerusi DUN manakala Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai gabungan yang berdaftar.