Malaysia Dateline

Dinamika realiti politik pasca-PRU14 harus dibahas secara berani-jujur

Implikasi pakatan dan kerjasama politik Umno-Pas menjelang PRU15 harus dibahaskan secara jujur dan tuntas oleh Pakatan Harapan. Gesaan ini dibuat oleh Mahfuz Omar ketika berucap merasmikan Konvensyen AMANAH Wilayah Persekutuan, Sabtu lalu.

Tambahnya, situasi pertandingan gabungan BN-Pas berdepan Pakatan Harapan bagaikan tidak dapat dielakkan lagi. Justeru, persiapan harus dilakukan sebaik mungkin untuk menghadapi suasana, yang sudahpun bermula dan ditunjukkan hasilnya dalam siri PRK terdekat, antaranya Cameron Highlands, Semenyih dan Tanjung Piai.

Di atas kertas, gabungan undi BN dan Pas, berdasarkan keputusan piluhan raya 18 bulan lalu, mampu menambahkan lagi lebihkurang 30 kerusi Parlimen. Ini bermakna kerajaan persekutuan boleh bertukar tangan.

Di peringkat negeri pula, kombinasi undi BN-Pas boleh merampas Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka, selain mengekalkan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang.

Memang suasana dan iklim politik boleh berubah dengan drastik. Faktor pembolehubah mungkin tidak terduga. Misalnya, sejurus PRU2013, siapa jangka Umno terbelah dua, Pas berkocak hebat dan bersikap mesra-Umno sehingga muncul Parti Amanah Negara, skandal 1MDB meletup dan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Bersatu serta memimpin gabungan penbangkang?

Apatah lagi PRU15 dijangka lambat lagi; masih berbaki tiga setengah tahun, yakni lebih 40 bulan. Dalam politik dikatakan seminggu sudah terlalu lama. Gabungan politik, sama ada yang membentuk kerajaan ataupun pembangkang, mungkin berubah posisinya.

Namun begitu, unjuran yang hampir pasti adalah cabaran besar buat Pakatan Harapan datangnya daripada kerjasama BN-Pas. Buat masa ini sentimen politik masyarakat Melayu lebih condong atau didominasi Umno-Pas. Perang persepsi seolah-olah lebih dikuasai kedua-dua parti itu. Naratif perkauman dan keagamaan sempit hampir tidak terlawan meskipun banyak kepalsuan dan falasi.

Keadaan hampir sama muncul menjelang PRU14. Ramai penganalisis dan penyelidik membayangkan situasi pertandingan tiga penjuru BN-PH-Pas akan mengekalkan regim yang ada. Undi pembangkang terbahagi dua. Ia disokong keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar; calon BN menang selesa.

Pelbagai inisiatif diusahakan, terutama daripada Bersatu dan sebahagian pemimpin PKR, agar Pas tidak membentuk blok ketiga agar undi yang menentang BN tidak berpecah. Rupanya pemimpin utama Pas sudah “bermain mata” dan “berunding dalam gelap” dengan Umno. Tiga penjuru merupakan strategi yang dipilih bagi memenangkan kleptokrat Najib Razak.

Mahfuz mengakui beliau ketika itu melihat perkara sebaliknya; PH mampu muncul sebagai pemenang sekalipun Pad tidak bersama. Gelombang yang dicetuskan Mahathir dan perpecahan dalaman Umno jauh lebih besar daripada yang diramal. Benarlah jangkaan seorang sarjana politik, jika PRU13 disebabkan tsunami Cina, maka PRU2018 didefinisikan oleh tsunami Mahathir!

Semestinya kita mengharapkan dan mendoakan agar situasi menghampiri PRU15 yang kritikal itu lebih memihak PH, namun harus ada perbincangan serius dan perbahasan terperinci tentang implikasi kerjasama BN-Pas ini, termasuk kepada sektor pengundi bukan Melayu yang dianggap “deposit tetap” buat PH.

Apakah sentimen masyarakat Tionghua sudah berubah, khususnya selepas PRK Tanjung Piai? Mungkinkah “teori pendulum” yang terhenti sejak akhir 1990-an akan berulang kembali? Ataupun mereka lebih terkesan dengan proses pembaharuan yang terlalu perlahan sehingga mempamerkan imej PH seumpama BN2.0 atau menjadikan DAP seperti MCA2.0?

Di kala majoriti masyarakat Melayu belum dapat ditawan atau sekurang-kurangnya berjaya didekati, salah faham dan salah anggap yang ditabur pembangkang terus mencengkam minda mereka. Pentadbiran kerajaan pula digugat elemen “daulah terpendam” yang menganggu kelancaran proses pembaharuan yang diimpikan rakyat.

Justeru, saya bersetuju dengan saranan Mahfuz agar perkembangan baharu dinamika politik pasca-PRU14 harus dibedah-siasat secara tuntas. Sebelum sebarang opsyen atau gerakerja dicadangkan, realiti lapangan mesti dihadam terlebih dahulu. Punca kegelisahan rakyat juga harus dikenal pasti; mengapa inisiatif kerajaan memulihkan negara ini dipandang sebelah mata atau mengundang reaksi negatif?

Kita tidak mahu meramalkan atau membuat unjuran kesan krisis dalaman PH, misalnya pertembungan kem Anwar Ibrahim dan kumpulan Azmin Ali, kerana ia masih bersifat spekulatif. Ataupun cuba menelah impak isu peralihan kuasa dan penggantian jawatan perdana menteri. Namun hakikat yang terpaksa diakui, semua konflik dalaman itu hanya mengundang padah dan kebencian rakyat jika gagal diurus secara bijaksana.