Malaysia Dateline

Dingin nyaman tanah tinggi di Taman Tasik Titiwangsa

Laluan ala kanopi membolehkan pengunjung menikmati suasana di kawasan tanah tinggi.

Rasai dingin nyaman tujuh gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang merentasi Banjaran Titiwangsa di tengah Kuala Lumpur?

Kini tidak mustahil apabila anda hanya perlu mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa yang kembali dibuka mulai hari ini selepas lebih setahun setengah ditutup untuk kerja naik taraf.

Kawasan yang dinamakan ‘Banjaran Titiwangsa’ di taman tasik bekas lombong bijih timah ini adalah antara tarikan terbaharu untuk warga kota kembali menghayati keindahan alam semulajadi.

Walaupun kabus yang menyelubungi kawasan titian kanopi hanyalah buatan, sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran pengalaman menikmati suasana segar kawasan tanah tinggi di tanah air kita.

Selain sistem kabus yang keluar dari bawah pelantar, lebih melengkapkan lagi suasana di ketinggian 2,000 meter dari paras laut adalah spesies tumbuhan tanah tinggi seperti paku-pakis dan batu-batuan besar.

Jeram mini yang jernih mengalir juga nampak berbalam dek kerana kabus apabila dilihat dari atas pelantar kayu sepanjang lebih 100 meter.

Mungkin akan datang boleh dilengkapkan dengan set siaraya yang khusus mendendangkan irama mergastua di belantara serta lagu klasik ‘Banjaran Titiwangsa’ nyanyian merdu Biduanita Negara Puan Sri Saloma.

Pernah menjadi lagu selingan di stesen televisyen suatu masa dahulu, lagu bernuansakan patriotik itu antara lebih 2,000 lagu yang digubah komposer terkenal tanah air, Datuk Dr Ahmad Nawab:

Indah diselubungi kabus
sayup menjulang ke awan
Tak jemu dipandang penuh kesal.

Membayang gagah perkasa
dibangga setiap masa
Itulah Banjaran Titiwangsa.

Warna biru kehijauan
subur makmur jelita
megah bagai idaman
rela tempoh masa.

Banjaran gunung dipuja
dicinta rakyat Malaysia
Itulah Banjaran Titiwangsa.

Tinjauan Malaysia Dateline sekitar jam 8 pagi tadi mendapati warga kota sudah berduyun-duyun menanti giliran menapak anak tangga untuk ke laluan ala kanopi. Kebetulan pula cuaca mendung sehingga tengah hari, menambah lagi rasa panorama tanah tinggi.

Taman Tasik Titiwangsa mendamaikan dengan pelbagai warna tumbuhan berbunga.

Tasik Titiwangsa yang merupakan gabungan kata titi merujuk kepada jambatan kecil dan wangsa bermaksud bangsa atau keturunan juga jelas dilihat mengangkat nilai budaya.

Di kawasan yang dinamakan sebagai Laman Kerawang, pagar sesat yang dihiasi lampu berbentuk rama-rama gergasi mengambil ilham reka bentuk kerawang yang lazim terdapat pada ukiran kayu di wilayah Nusantara.

Plak keterangan di Laman Kerawang antaranya memberitahu, “corak reka bentuk taman kerawang ini berakar pada intipati warisan peradaban Nusantara seperti terungkap dalam falsafah; Tumbuh berpunca, punca penuh rahsia, tumbuh tidak menerjak kawan, memanjat tidak memaut lawan, tetapi melingkar dengan penuh mesra.”

Menjelang tahun 2020, usaha menaik taraf Taman Tasik Titiwangsa seluas 46.13 hektar atau 114 ekar itu nampaknya cuba mengajak masyarakat turut sama menghargai bahasa dan budaya.

Lihat sahaja pada penamaan kawasan: Sisir Timur dan Barat, Lanai Titiwangsa, Dermaga Sampan dan Jeti, Astaka, Kafe Tepian Tasik serta Laman Pesta.

Itulah  kekuatan dan jati diri bangsa. Maju dan moden gaya hidup kita bagaimana sekalipun, akar akal budi bangsa wajib diangkasa.

Khazanah warisan seni kerawang Melayu diabadi bersama keindahan landskap.

Dua kompleks surau yang disediakan pula dinamakan Surau Melur dan Surau Kenanga. Jadi, tiada alasan untuk meninggalkan solat fardu bagi pengunjung yang beragama Islam. Konsep suraunya dengan pada satu sudut adalah terbuka sekali gus mesra alam dan mengambil kira sistem pengudaraan.

Usah terlalu leka bergambar lantaran terpana dengan hasil sebahagian daripada projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) hasil usaha oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini.

Manfaatkan masa emas anda bersama keluarga atau sahabat handai dengan mengambil peluang untuk beriadah ketika kita sudah kerap diingatkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tentang tiga Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) iaitu serangan jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis yang terus menjadi penyebab utama kematian di negara ini.

Ada dua laluan trek dibina sama ada mahu berjogging atau berbasikal. Laluan berwarna kelabu untuk aktiviti jogging manakala trek merah untuk penunggang basikal.

Satu pusingan trek di Taman Tasik Titiwangsa dari Sisir Barat ke kawasan Banjaran Titiwangsa, Laman Pesta, Tasik Timur yang indah dipagari pohon nyiur melambai hingga ke Taman Berkuda hanya mengambil jarak kira-kira 2.5 kilometer.

Surau dengan wujudnya ruang terbuka memastikan kelancaran sistem pengudaraan.

Bagi ibu bapa yang bersama anak-anak tentu sekali, kawasan Laman Keluarga dengan zon berwarna jingga wajib disinggahi. Ada taman tema air dan taman permainan yang dilengkapi gelungsur setinggi kira-kira lima meter, buaian, titian gantung serta ‘rock climbing’ mini.

Kebetulan hari ini, selain terserempak dengan beberapa rakan aktivis politik dan budaya, saya berpeluang menyapa dan berswafoto dengan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berdekatan Rumah Pengawal 1.

Ahli Parlimen Pontian yang empat tahun lalu terkenal dengan jenaka ‘nasi goreng campur resepi tiada GST’ itu sempat memberitahu kepada saya tentang kesukaran parkir di kawasan taman tasik itu.

Oleh itu, bagi anda yang sedang berhajat untuk membawa ahli keluarga sempena musim cuti sekolah mengunjungi kawasan yang sebelum tahun 1980 dikenal sebagai Taman Jalan Kuantan ini, keluar dari rumah sesudah solat Subuh adalah tindakan paling bijak.

Tandas bak dalam hotel dengan bayaran masuk masih 20 sen.

Pada masa sama, setiap pengunjung bermula daripada orang dewasa bergelar ibu dan bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak masing-masing agar menghargai prasarana yang diselia Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini.

Buanglah sampah di tempat disediakan dan jauhi aktiviti vandalisme. Sinki di Tandas Kenanga yang putih bersih seperti set tandas di hotel contohnya, akan sentiasa terpelihara jika setiap pengunjung bertanggungjawab dan berminda bangsa kelas pertama.

Ambil masa anda seketika untuk membaca beberapa plak keterangan kawasan sekitar Taman Tasik Titiwangsa.
Taman Tasik Titiwangsa kawasan wajib dikunjungi seisi keluarga sempena musim cuti sekolah ini.
Program Hari Keluarga sebuah jabatan kerajaan pada hari pertama pembukaan semula Taman Tasik Titiwangsa.