Malaysia Dateline

Dinobat juara GV9, Jaclynn Victor berhasrat mahu serahkan RM100,000 kepada dua anaknya

Penyanyi Jaclyn Victor menepati ramalan ramai apabila muncul sebagai juara Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada konsert malam kemuncak semalam yang membolehkan dia membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000.

Selepas menang besar dalam pertandingan ini, Jaclyn memberitahu dia tidak akan menggunakan wang itu untuk dirinya.

Sebaliknya wang yang dimenanginya itu akan diberikan kepada kedua-dua anaknya dan akan disimpan di dalam tabung untuk kegunaan masa depan mereka, lapor Astro Gempak.

“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini. Segala kepayahan selama 11 minggu ini berbaloi. Apa yang penonton nampak di kaca TV tak semudah yang dibayangkan.

“Dengan hadiah kemenangan ini saya hanya terfikir untuk berikan wang itu kepada dua orang anak saya untuk simpanan masa hadapan.

“Tak terfikir nak beli apa-apa lagi kerana mereka pun setakat ini dah cukup segalanya terutama mainan yang rasanya banyak dah tu.

“Jadi lebih baik duit ini masuk untuk tabungan mereka sahaja kerana sebelum ini pun apa-apa duit saya galakkan untuk mereka menyimpan,” katanya kepada Astro Gempak.

Jaclyn bersama dua anaknya

Selain wang tunai, Jaclyn turut menerima hadiah sebuah trofi serta percutian ke Paris.

Jaclyn mendendangkan lagu It’s All Coming Back to Me Now nyanyian asal Celine Dion pada pusingan pertama, sebelum membawa lagu The Real Slim Shady dan Sang Saka Biru dalam pusingan rap bersama kumpulan V.E.

Penyanyi lagu Gemilang itu sebelum ini menjuarai empat episod pertandingan tersebut sepanjang 10 minggu lalu.

Tiada perancangan terperinci selepas memenangi pertandingan berkenaan, Jaclyn yang merupakan seorang ibu tunggal itu memberitahu dia hanya mahu bercuti bersama anak-anaknya.

“Selepas ini, saya akan berehat dan bercuti bersama anak-anak kerana mahu luangkan masa lebih kepada mereka.

“Yelah, selama 11 minggu saya di GV9 saya kurang luangkan masa bersama mereka kerana terpaksa melakukan persiapan untuk persembahan,” kongsinya.

Jaclyn berpisah dengan suami, Shawn Rivera sejak dua tahun lalu selepas lima tahun hidup bersama.

Baca juga: Pekerja J&T bawa lari lebih RM150,000 duit syarikat, sempat beli rumah sebiji

Baca juga: Anak meninggal dalam kandungan, ibu tetap bersalin dan dakap bayi sepuasnya