Dinsman cari penaja untuk pentaskan semula Teater Atas Pokok

Dinsman cari penaja untuk pentaskan semula Teater Atas Pokok

Selepas persembahan Teater Atas Pokok (TAP) mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai pada April lalu, pengarahnya Shamsudin Othman merancang untuk mementaskannya sekali lagi.

Shamsudin atau Dinsman mengimpikan pementasan kali ini dibuat di atas pokok di Madrasah Seni Kampung Banda Dalam, Gombak, pokok yang memberi ilham kepadanya sehingga TAP berjaya dipentaskan buat pertama kali dan mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Tambahan pula, TAP sememangnya didedikasikan kepada penduduk Kampung Banda Dalam yang sedang berjuang mempertahankan kampung mereka daripada dihapuskan.

Selepas persediaan hampir enam bulan, TAP dipentaskan di atas pohon Angsana, berhampiran Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 16 dan 17 April lalu.

Pementasan TAP berkonsepkan teater persekitaran itu mendapat kerjasama kerajaan negeri Selangor di bawah exco belia, sukan, pembangunan keusahawanan an kebudayaan dengan tajaan kira-kira RM140 ribu.

Bagi Dinsman, tajaan tersebut belum boleh dikatakan mewah namun mencukupi bagi menyampaikan mesej kepada rakyat melalui teater.

Apatah lagi mesej yang disampaikan melalui TAP adalah mesej sejagat iaitu mengenai kampung warisan yang sedang berhadapan dengan ancaman pembangunan.

Dinsman berkata, beliau merancang untuk mementaskan TAP kali kedua pada hujung tahun ini dan sedang mencari tajaan.

“TAP perlukan belanja yang besar kerana kita perlukan konsultan keselamatan untuk kerja-kerja memanjat pokok dan pelakon pun lebih dari lima orang.

“Jadi untuk mementaskannya semula, kena fikirkan kos dan siapa yang ingin menaja, Apa-apapun saya sedang berusaha mencari pihak yang sudi menaja untuk pementasan kali ini,” katanya ketika ditemui Malaysia Dateline di Shah Alam baru-baru ini.

Beliau berkali-kali memuji semangat dan kesungguhan para pelakon TAP dalam menjayakan TAP dan mahu mengekalkan mereka dalam pementasan nanti.

TAP dipentaskan oleh lapan pelakon utama, empat pelakon pembantu dan dua pemain muzik.

Lapan pelakon tersebut termasuk seniman dari Thailand, Bhumin Dhanaketpisarn.

Bhumin pernah menyertai pekampungan seniman dunia selama seminggu di Kampung Banda Dalam pada tahun lalu.

Bhumin, 52, berpengalaman selama 20 tahun dengan Kumpulan Teater Makhampom atau Yayasan Makhampom dan mempunyai minat yang mendalam dalam bidang teater.

Dalam TAP, Bhumin mempersembahakan tarian tradisional Thailand yang berjaya memukau penonton.

Bukan sekadar tarian yang ingin dipersembahkan namun Dinsman mahu memberitahu, rakyat Thailand sangat mencintai budaya dan seni warisan mereka.

Namun di Malaysia budaya dan adat tradisi seakan dilupakan dan tenggelam dengan arus kemodenan sehingga kampung warisan pun ingin dirobohkan demi mengaut keuntungan.

Menurut Dinsman, beliau juga dihujani permintaan agar TAP dipentaskan semula meamndangkan pementasan kali pertama hanya dua malam.

“Ramai lagi yang tidak sempat menonton TAP kali pertama dan mereka minta TAP dipentaskan sekali lagi. Ini yang membuatkan saya rasa perlu dipentaskan sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, pihak Tourism Selangor sangat berpuas hati dengan pengajuran TAP yang disifatkan berjaya mempromosikan Shah Alam sebagai bandar seni.

Menurut eksekutif komunikasi korporat Tourism Selangor Fatimah Husna Razalee, penganjuran teater unik sebegini sepatutnya dijadikan acara tahunan bagi menarik lebih ramai peminat teater dan plancong asing untuk datang ke Selangor.

“Ramai penonton yang datang pada malam tu dan kawasan sekitar pokok sanat penuh. Mungkin selepas ini boleh diadakan di ruang yang lebih luas supaya dapat menarik lebih ramai peminat teater dan pelancong asing untuk datang ke Negeri Selangor,” katanya kepada Malaysia Dateline.

TAGS