Malaysia Dateline

Dipanggil selepas perhimpunan, aktivis dakwa SOP polis lapuk, perlu dibuang

Seorang aktivis hari ini mendakwa Prosedur Operasi Standard (SOP) Polis Diraja Malaysia yang memanggil mereka memberi keterangan berkaitan penganjuran satu perhimpunan, adalah lapuk.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram) D Sevan, menyifatkan SOP memanggil peserta perhimpunan yang terlibat, juga perlu dibuang.

“Kenapa setiap kali selepas perhimpunan aman itu, dipanggil oleh pihak polis? Dari dulu kita sudah bagitahu, jangan membazir masa antara kedua-kedua pihak (polis dan aktivis).

“SOP lapuk ini kena buang. Kita nak jumpa Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador nak bagitahu kalau beliau tidak paham, kita boleh berbincang.

“Dalam kes ini melibatkan 15 orang, ramai sangat. Kenapa nak bazirkan masa, padahal pihak polis boleh keluar buat kerja lain, tangkap penjenayah, perasuah dan sebagainya,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Turut hadir beberapa pimpinan parti antaranya  Ahli Jawatankuas Pimpinan AMANAH Nasional Faiz Fadzil selain aktivis yang hadir Datin Paduka Marina Mahathir dan Fadiah Nadwa Fikri.

Dalam isu sama, D Sevan turut meminta Tan Sri Abdul Hamid Bador supaya meneliti SOP tersebut.

“Kita minta KPN supaya melihat SOP berkenaan sebab dalam setiap perhimpunan, pihak polis memang mencukupi (di lokasi) dan boleh menjadi saksi terhadap apa yang berlaku.

“Pihak polis sudah menjadi saksi (kerana berada di lokasi). Mereka (PDRM) boleh menjadikan polis sebagai saksi, tak perlulah panggil kita,” katanya lagi.

Fadiah Nadwa Fikri (tiga dari kiri) bersama rakan aktivisnya melaungkan slogan kebebasan berhimpun dan membantah tindakan polis memanggil aktivis yang terbabit dalam perhimpunan pada Ahad lepas.

Beliau menambah, jika berpeluang, pihaknya yang juga masyarakat sivil mahu bertemu dengan Ketua Polis Negara.

Katanya, baru-baru KPN berjanji bahawa rakyat boleh keluar untuk protes dan berhimpun secara aman, tetapi mematuhi undang-undang.

“Memang kita akan ikut undang-undang,” jelasnya.

Semalam  Majlis Presiden  Pakatan Harapan membantah keras reaksi pihak berkuasa yang dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap tiga aktivis sosial: Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Fadiah Nadwa Fikri susulan satu demontrasi yang diadakan di Sogo pada Ahad yang menimbulkan kekecohan.

Ketua Polis Negara Datuk seri Abdul  Hamid Bador  dalam kenyataan berkata polis, akan menyiasat Datin Paduka Marina Mahathir, Datuk Ambiga Sreenevasan dan beberapa individu kerana terlibat dalam perhimpunan di Sogo.