Malaysia Dateline

Dipantau lima panel bebas, SPRM tidak akan tutup kes rasuah

Susulan pertemuan dengan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) memberi jaminan pihaknya tidak akan menutup sebarang kes jika terdapat unsur rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya tertakluk kepada pemantauan panel bebas di samping terikat dengan undang-undang untuk menyiasat setiap kes rasuah dilaporkan.

“Saya memberi jaminan SPRM sebagai sebuah agensi dipantau lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang diberikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, SPRM menghargai sokongan Anwar terhadap SPRM dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini.

Terdahulu, Anwar dalam reaksinya kepada media selepas pertemuan dengan SPRM antara lain berkata, beliau mengingatkan suruhanjaya itu agar tidak dilihat bersekongkol dengan mana-mana parti pemerintah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut berpuas hati dengan perjumpaan berkenaan kerana memberinya peluang berbincang dan mengemukakan pandangan bagi membendung rasuah di negara ini.

Azam pada temu bual khas dengan Bernama tahun lalu memaklumkan, lima panel bebas yang memantau SPRM dari semasa ke semasa terdiri daripada bukan pegawai kerajaan.

Jelasnya, panel pertama merupakan panel penasihat yang bertanggungjawab menasihati dari segi dasar dan perjalanan SPRM manakala panel kedua ialah panel penilaian operasi yang memantau kes-kes SPRM termasuk memberi pandangan untuk sesuatu kes sebelum ditutup atau diteliti semula jika mereka tidak berpuas hati.

Panel ketiga pula ialah panel pencegahan dan pemeriksaan yang menasihati tentang aktiviti pencegahan dan aktiviti pendidikan masyarakat SPRM manakala panel keempat merupakan jawatankuasa aduan yang memantau salah laku yang dilaporkan terhadap pegawai SPRM.

Jelasnya lagi, panel terakhir ialah Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang melihat pencapaian SPRM sepanjang tahun dan membentangkan serta memberi nasihat kepada Perdana Menteri tentang prestasi SPRM pada tahun yang berkenaan.

Untuk rekod, SPRM bakal menyambut ulang tahun ke-54 pada 1 Oktober nanti sejak ditubuhkan pada tahun 1967.

Badan tersebut sebelum ini pernah dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum menjadi suruhanjaya bebas pada tahun 2009 dengan nama SPRM.