Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata bahawa Islam mewajibkan politik dan penjajah akan menguasai apabila politik dihilangkan daripada Islam.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan ramai dalam kalangan umat Islam meninggalkan kewajipan berpolitik dan menyerahkan kuasa kepada pihak lain menyebabkan tanah air mereka dijajah secara langsung atau tidak langsung.
“Malah, mengakibatkan Islam itu dihina di hadapan mata mereka tanpa apa-apa perasaan dan tanpa sedar mereka telah diperhambakan oleh musuh Islam,” katanya.
Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri itu berkata demikian hari ini dalam tulisan panjang lebarnya menerusi segmen Minda Presiden Pas bertajuk, “Islam mewajibkan politik”.
Hadi turut mengingatkan bahawa Allah SWT memberikan amaran kepada sesiapa sahaja dalam kalangan umat yang tidak bangkit menegakkan Islam seperti terjemahan ayat 38 dalam Surah Muhammad.
Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga berkata, hukum kewajipan berpolitik telah menjadi ijmak atau sepakat para ulama.
“Hal ini sekali gus menunjukkan hukum wajib berpolitik adalah berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijmak para ulama khususnya generasi awal Islam yang menjadi pilihan Allah SWT,” jelasnya.
Tambah Hadi lagi, kesempurnaan Islam tidak boleh diamalkan tanpa politik bagi mentadbir dan mengurus pelaksanaannya.