Malaysia Dateline

Dipersoal kelayakan, Dr Amalina tampil sekolahkan Papa Gomo

Dr Nur Amalina Che Bakri yang sebelum ini menyangkal dakwaan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba kononnya meminum air suam dapat menghalang jangkitan Covid-19 hari ini telah ‘menyekolahkan’ Papa Gomo.

Anggota Majlis Tertinggi Umno tersebut sebelum ini mendakwa Dr Amalina terlalu muda untuk bercakap mengenai wabak Covid-19 selain menganggap Adham sebagai “sebenar-benar doktor”.

“Dr Amalina wanita bijak pandai, belajar di luar negara, praktikal di luar negara.. Muda lagi, umur dalam 20 atau 20 lebih.

“Dia ada membidas Dr Adham Baba minum air suam. Pada pendapat saya, Dr Amalina terlalu muda untuk cakap perkara begini. Sebab, ertinya Dr Adham Baba doktor yang sebenar-benarnya doktor,” katanya dalam siaran langsung di media sosial.

Enggan berdiam diri, Dr Amalina tampil mengingatkan agar pandemik Covid-19 tidak harus dipolitikkan.

“Umur saya 33 tahun, bukan 20 lebih. Saya bekerja sebagai Specialist Registrar bukan doktor praktikal. Encik Azri tahu tak beza specialist dengan houseman?” soalnya.

Penerima Darzi Academic Clinical Fellowship 2019 di Imperial College London itu memberitahu beliau bekerja di hospital dan merawat pesakit Covid-19 di tempat kerjanya.

“Tak perlu rasanya saya hendak tunjuk CV atau membandingkan siapa yang mempunyai lebih pengalaman.

“Etika doktor perubatan mengatakan kami perlu mengikut evidence-based medicine apabila memberi kenyataan.

“Kenyataan yang saya buat bukan saya buat sendiri tetapi ia adalah saranan WHO dan daripada pakar-pakar virologi dan mikrobiologi dari seluruh dunia,” tegas pelajar cemerlang 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2004 itu.

Papa Gomo, 37, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris dikenali sebagai penyokong ekstrem Umno yang kerap melakukan provokasi dan fitnah terhadap lawan Umno.

Blogger itu pernah berdepan saman fitnah pada 2014 sehingga diperintah mahkamah membayar ganti rugi berjumlah RM951,260.30 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia juga telah mengoyak gambar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa mengadakan demonstrasi jalanan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sehingga diharamkan memasuki Sabah.

Bahkan, Papa Gomo tahun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas dua tuduhan mengaib dan mendatangkan kecederaan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai poster sindiran berhubung kenyataan minum air suam oleh Dr Adham dan reaksi Dr Amalina terus tular dikongsikan warga maya.