Diplomasi kerjasama pertahanan dipertingkatkan jamin keselamatan, kestabilan serantau Asean

Oleh MALAYSIADATELINE

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, berkata, beliau menekankan betapa Asean harus menjadi platform penggerak kepada kerjasama serantau di Asia Tenggara khususnya melalui platform Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean  (ADMM) dan ADMM– Plus dalam menangani isu keselamatan bukan tradisional serta inisiatif bantuan kemanusiaan.

“Konsep diplomasi pertahanan melalui kerjasama strategik pertahanan secara dua hala dan pelbagai hala di Asia Tenggara mahupun Asia Pasifik serta global adalah fokus utama forum ini.

“Kerjasama pertahanan seperti ADMM, ADMM-Plus dan antara Aseanbersama rakan dialog seperti Hubungan Dialog Asean-Jepun adalah mekanisme penting yang perlu dipertingkatkan bagi menjamin keselamatan, kestabilan dan pertumbuhan serantau.

“Dalam usaha menangani isu antikeganasan, pendekatan memenangi hati dan minda adalah penting bagi mengurangkan risiko punca keganasan daripada berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohamad dijemput Menteri Pertahanan Jepun untuk menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Defence Cooperation of The New Mahathir Administration’ dalam program 10th Japan-Asean Defense Vice-Ministerial Forum di Nagoya, Jepun, semalam.

Forum itu disertai Ketua-ketua Setiausaha Pertahanan negara Asean dan Jepun untuk bertukar pandangan dan pengalaman serta mengeratkan kerjasama Asean dengan Jepun sebagai antara anggota Asean ADMM-Plus.

Beliau berkata, strategi antikeganasan melalui mekanisme kerjasama pertahanan dua hala mahupun serantau seperti inisiatif perkongsian maklumat risikan, rondaan bersama di kawasan maritim dan udara menerusi platform ADMM dan ADMM-Plus amat penting untuk memastikan rantau Asia Tenggara bebas daripada ancaman pengganas.

“Saya juga menyatakan bahawa pentadbiran Perdana Menteri memperkenalkan semula Dasar Pandang ke Timur yang akan diterapkan dalam kerjasama pertahanan serantau.

“Beberapa dasar terkini yang dipelopori Tun Dr Mahathir khususnya ke atas isu Laut China Selatan sebagai platform kerjasama dan bukannya pertembungan kuasa-kuasa besar selain mempertingkatkan diplomasi sebagai jalan penyelesaian kepada isu serantau dan hubungan dua hala,” katanya.

Selain itu beliau turut menekankan Malaysia telah memainkan peranan penting dalam usaha memberi bantuan kemanusian di peringkat antarabangsa antaranya seperti Hospital Medan di Cox Bazar, Bangladesh.

“Peranan Malaysia di dalam bidang bantuan kemanusiaan juga semakin penting menerusi inisiatif Asean Militaries Ready Group on Humanitarian Assistance and Disaster Relief (AMRG on HADR), iaitu kerjasama antara pasukan tentera negara ahli Asean bagi memberikan bantuan kemanusiaan yang cepat, teratur dan terselaras kepada negara-negara ahli Asean yang dilanda bencana,” ujarnya.