
Direktori Duta RAHMAH bina rangkaian bersama pendakwah
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini, melancarkan Direktori Duta RAHMAH bertujuan membina rangkaian strategik bersama pendakwah di seluruh negara bagi memperluaskan gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, sebanyak 215 senarai nama siri pertama telah diedarkan kepada agensi-agensi di bawah kementerian dan khidmat mereka boleh digunakan pada bila-bila masa.
“Jika ada apa-apa program yang bersifat Islamik dan mahu mengisi apa sahaja hala tuju berkaitan pentadbiran Islamik, mereka itu (215 orang) boleh dipanggil bila-bila masa.
“Dalam buku direktori itu disediakan sekali nombor telefon beserta kepakaran mereka. Kita buat semua ini bagi memudahkan agensi-agensi supaya mereka memahami dan menghayati dasar yang kami bawa.
“Kita tidak mahu bila kita cakap tentang Rahmatan Lil Alamin, orang yang di bawah itu cakap entah apa-apa. Kadang-kadang mereka serang kita semula dan sebab itulah saya lihat inisiatif ini penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Mohd Ajib Ismai.
Dalam pada itu, Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, fungsi Duta RAHMAH itu antara lainnya adalah, sebagai platform untuk melihat rencam pendekatan dalam menyampaikan dasar rahmah.
“Duta RAHMAH bukan sahaja berceramah dan berkuliah, tetapi mereka juga menulis dan membuat forum.
“Untuk mendapatkan nama Duta RAHMAH itu, mereka perlu terlebih dahulu mengikuti simposium setengah hari yang mengandungi penerangan dasar dan juga matlamat yang mahu dicapai.
“Alhamdulillah, seramai 215 orang telah graduasi daripada program siri pertama ini dan kita ada lagi 500 senarai nama yang sedang menunggu.
“Saya yakin dalam hujung tahun ini dua atau tiga lagi simposium Duta RAHMAH akan diadakan,” katanya lagi.
Duta RAHMAH adalah cetusan idea Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan duta-dutanya terdiri daripada pensyarah, guru, doktor, peguam, pendakwah dan aktivis masyarakat yang aktif mengadakan program dakwah bersama masyarakat.
Melalui direktori Duta RAHMAH ini, orang ramai, agensi kerajaan, swasta atau pun Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) akan mempunyai kemudahan mengakses kepada bidang kepakaran, maklumat diri dan nombor perhubungan mereka.