Malaysia Dateline

Direktori Hindu Malaysia pertama dilancarkan di Pulau Pinang

Satu Direktori Hindu Malaysia, yang menyediakan maklumat berkaitan kuil Hindu dan badan bukan kerajaan (NGO) di bahagian Utara Semenanjung Malaysia yang melaksanakan program penyediaan makanan, tuisyen, perubatan dan lain-lain secara percuma, telah dilancarkan di sini malam tadi.

Disokong oleh Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA), Lembaga Endowmen Hindu Pulau Pinang (PHEB), Persekutuan Hindu Global dan beberapa NGO yang aktif, sejumlah 10,000 direktori tersebut akan diedarkan  sewaktu Thaipusam pada 7 dan 8 Feb melalui sebuah Thaneer Panthal (gerai) yang terletak di kaki bukit Kuil Murugan.

Koordinator program Dr Prashant Subramaniam berkata, inisiatif tersebut adalah bagi membantu dan memaklumkan kepada semua komuniti terutamanya mereka yang memerlukan dan keluarga B40, mengenai perkhidmatan percuma yang ditawarkan oleh kuil-kuil Hindu dan NGO.

Katanya, sebelum ini tidak ada satu direktori berpusat, di mana orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan percuma yang diberikan, selain tempat, waktu operasi dan nombor hubungan pihak terbabit.

“Perkhidmatan ini, termasuk makanan percuma, kelas tusyien percuma dan malah bantuan perubatan percuma bukan sahaja untuk komuniti Hindu, tetapi juga (untuk) pelarian), India-Muslim, Cina… semua boleh daptkan perkhidmatan yang disediakan,” katanya kepada wartawan sambil menyatakan kelas berkaitan agama dan kerohanian secara asasnya untuk penganut hindu.

Dr Prashant berkata, edisi pertama direktori Hindu itu memaparkan kira-kira 15 kuil dan NGO di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak dan akan secara aktifnya akan dikemas kini dan diperluaskan ke seluruh Malaysia dan boleh diakses melalui laman web dan media sosial pada masa hadapan.

“Kerja-kerja mendigitalkan direktori itu kini sedang berjalan,” katanya dan menambah versi dalam talian direktori tersebut akan ada dalam tempoh enam bulan.– BERNAMA