Seorang pelakon wanita terkenal tidak pernah menduga bahawa anak lelakinya yang disangka lemas di dalam kolam renang rupanya dibunuh oleh kekasihnya sendiri.
Diberi kepercayaan untuk mengajar anak kekasihnya berenang, lelaki tersebut malah tergamak membenamkan kepala kanak-kanak itu ke dalam kolam sebanyak 12 kali.
Perbuatannya terbongkar selepas pihak polis melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian sebelum menggali kubur mangsa berusia enam tahun itu.
Lelaki yang dikenali sebagai Yudha Arfandi itu kemudian ditetapkan sebagai suspek kes pembunuhan anak kepada pelakon popular Indonesia iaitu Tamara Tyasmara.
Difahamkan, Tamara sudah memutuskan hubungannya dengan Yudha selepas lelaki itu ditahan oleh pihak berkuasa di Balai Polis Metro Jaya pada Sabtu, 9 Februari lalu.
Kejadian disahkan Pengarah Siasatan Jenayah Am, Polda Metro Jaya iaitu Komisioner Polis Wira Satya Triputra yang memaklumkan pihaknya masih menyoal siasat Yudha.
“Siasatan awal sudah dilakukan terhadap suspek. Sebanyak 36 pertanyaan diajukan kepadanya di tahap pertama sebelum dilanjutkan dengan 26 pertanyaan, kelmarin.
“Soal siasat terhadap suspek masih akan diteruskan lagi esok,” kata Wira memetik laporan portal berita atas talian Indonesia, Detik News yang diterbitkan semalam.
Terdahulu, anak lelaki tunggal Tamara iaitu Raden Andante Khalif Pramudityo ditemui maut di dalam kolam renang Taman Air Tirtamas Pondok Kelapa di Jakarta Selatan.
Insiden berlaku pada 27 Januari lalu dan selepas ditahan, Yudha mengaku tujuannya membenam kepala mangsa ke dalam kolam renang adalah untuk latihan penafasan.
Konon tiada niat membunuh, alasan suspek membenam kepala mangsa sebanyak 12 kali adalah supaya kanak-kanak itu menjadi lebih kuat, tidak panik dan tidak takut air.
Mengulas lanjut, Wira menjelaskan bahawa Yudha akan dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan termasuklah pembunuhan terancang dan kekerasan terhadap kanak-kanak.
Sekiranya didapati bersalah, suspek yang merupakan seorang ahli perniagaan bergelar duda itu bakal berdepan dengan hukuman mati.
Sekadar info, mangsa yang mesra disapa Dante itu merupakan anak tunggal Tamara hasil daripada perkahwinan terdahulu bersama pemuzik Indonesia, Angger Dimas.
Baca juga: Bawa anak pergi pasar malam, netizen puji penyanyi nombor 1 negara ‘humble’