Malaysia Dateline

Disangkakan bunyi mercun, rupanya bumbung bangunan runtuh

“Saya ingatkan bunyi mercun, tetapi rupanya bumbung bangunan yang runtuh secara tiba -tiba, ” kata seorang pekerja kantin, Hijrah Samawi,36.

Katanya, insiden bumbung bangunan kantin Sekolah Kebangsaan Siol Kanan, Kuching itu berlaku pada jam 12.50 tengah hari dan hampir meragut nyawa pekerja.

Menurutnya,rakan sekerja yang turut berada di lokasi kejadian, Dijana Mohamad, 28, turut berlari keluar dari dapur kantin berkenaan sebaik sahaja terdengar bunyi tersebut.

“Semasa kejadian saya sedang mencuci pinggan bersebelahan bangunan kantin ini.

“Apabila terdengar bunyi bising seperti mercun saya terus berlari keluar selamatkan diri.

“Perasaan ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu, syukur saya dan rakan sempat berlari menyelamatkan diri,” ujarnya ketika ditemui.

Menurut Hijrah, bangunan kantin itu telah sebulan ditutup kerana bumbungnya yang rosak.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana ketika waktu kejadian tiada murid yang bermain dalam bangunan tersebut.

“Biasanya ramai murid yang berada pada jam itu, tetapi hari ini tiada seorang pun yang bermain atau duduk dalam kantin ketika insiden berkenaan, ujar beliau.

Sementara itu, setakat ini, pihak sekolah belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung kejadian tersebut.