Disebalik keputusan Wan Saiful  bersama Pakatan Harapan

Disebalik keputusan Wan Saiful bersama Pakatan Harapan

Bagi saya, Wan Saiful Wan Jan telah mengambil sikap yang betul terhadap politik. Di saat dunia politik itu dipandang jijik dan kotor, beliau memilih untuk terlibat secara aktif walau sebelumnya beliau sudah pun menjadi ahli dalam sebuah parti politik lain.

Saya teringat dalam sebuah perbincangan bersama teman-teman sewaktu pergolakan dalaman Pas berada di kemuncaknya lewat muktamar 2015. Antara isu yang dibincang adalah tentang sikap ketika menghadapi keributan dalaman parti sebagaimana yang semua sedia maklum.

Ada tiga opsyen. Pertama, terus kekal dalam parti dan berusaha sedaya mungkin melakukan islah dari dalam. Kedua, menyertai rakan-rakan dan pimpinan lain yang kalah dalam pemilihan parti ketika itu dan nekad membawa agenda perubahan melalui jalan alternatif di luar lingkaran parti (masa tu belum ada keputusan untuk tubuhkan parti baharu) atau mengambil pendirian untuk ‘tawaqquf’ dari politik.

Saya memberikan pandangan bahawa ‘tawaqquf’ bukan opsyen yang terbaik. Sekurang-kurangnya pada saat dan ketika itu (dan sekarang).

Di saat politik negara berada pada kedudukan yang parah, rasuah terlalu berleluasa, salahguna kedudukan dan pangkat oleh parti pemerintah bahkan oleh Perdana Menteri sendiri hatta digelar kleptokrat, Malaysia terkenal di seluruh dunia.

Atas sebab yang salah, kelemahan tadbir urus dan tatakelola kerajaan sehingga mengakibatkan kompetensi atau daya saing negara ‘stagnant’, hasil mahsul kekayaan negara tidak dikongsi secara adil di kalangan rakyat, jurang maklumat dan ekonomi rakyat semakin melebar, kesenjangan taraf hidup di kalangan rakyat.

Selain tekanan kos untuk meneruskan kehidupan semakin menekan rakyat bawahan diakibatkan pengenalan GST yang tidak kena masanya dan sekian banyak lagi asbab yang boleh ditulis.

Justeru, masih tegarkah kita untuk tawaqquf? Sebab itu, saya berpendirian bahawa tawaqquf bukan pilihan terbaik dan tidak perlu ada dalam pemikiran ahli-ahli yang pernah dilatih (ditarbiyyah lah).

Tidak ada sebab untuk kita berdiam diri dan mengambil jalan paling selamat (selalu diguna istilah ‘play safe’). Kemungkaran yang berlaku terlalu besar dilakukan oleh kerajaan yang memikul amanah kepimpinan negara hari ini. Malah kita (PAS dan PR ketika itu) telah sampai ke suatu kedudukan terbaik untuk menjatuhkan kemungkaran itu melalui platform Pakatan Rakyat bahkan sokongan daripada rakyat amat luar biasa terhadap parti Islam khususnya dari kalangan bukan Islam.

Oleh itu, opsyen yang tinggal hanyalah antara kekal dalam parti atau memilih jalan alternatif sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Tambahan pula tenaga yang ada untuk menggerakkan agenda perubahan dalam negara ini amat terhad dan terbatas. Mengharapkan siapa lagi kalau bukan kita yang pernah dilatih dan lebih faham perjuangan berbanding ahli yang tidak mengikut sistem latihan secara tanzimi (pinjam istilah harakiah sikit )?

AlhamduliLlah daripada kalangan sahabat yang ada dalam perbincangan tadi, tidak ada seorang pun yang memilih jalan ‘tawaqquf’. Sebahagian memilih untuk kekal dan sedang mengusahakan sesuatu dari dalam dan sebahagian lagi memilih jalan yang lebih ‘berani’ dengan menggerakkan AMANAH hari ini.

Cuma saya sedikit terkesan apabila terdapat sebahagian kecil rakan-rakan yang saya kenali pernah bersama-sama berusrah dan bertamrin, lebih suka memperlekeh kawan-kawan yang masih aktif berpolitik ini. Katanya politik ini tidak ada masa depan dan lebih baik fokus diri sendiri dulu sebelum nak ubah orang lain.

Ada juga yang telah berfikir dan melihat politik sama seperti orang awam melihat dan menilai politik. Bagi mereka, sama sahaja siapa pun yang memimpin politik.

Untuk kawan-kawan saya yang seperti itu, saya hanya mampu ucapkan selamat dan semoga berjaya dalam hidup.

Pokoknya, berbalik kepada asas tulisan ini, kita tidak boleh meninggalkan dunia politik ini dan membiarkan orang-orang jahat dan bodoh yang memimpin politik.

Bagi saya, politik adalah medan untuk menyumbang dan beramal. Medan politik adalah medan terbaik untuk menyampaikan risalah Islam kerana dunia politik itu sendiri melibatkan hampir seluruh struktur dan lapisan masyarakat. Dalam erti kata lain, politik adalah ‘mainstream’ dalam struktur awam. Tidak terkecuali apa rona dan bangsa sekalipun pasti akan terlibat dalam politik atau keputusan politik. Setidaknya ketika pilihanraya. Itulah yang ditanamkan oleh para naqib saya dahulu.

Justeru, politik perlu dibawa secara betul teks dan konteksnya menurut syarak. Kerosakan yang berlaku dalam politik menatijahkan keruntuhan sebuah sistem bernegara dan kezaliman terhadap masyarakat dan rakyat.

Sebab itu, golongan yang berjiwa Islam dan reformis perlu terlibat secara aktif dalam politik walau apa keadaan sekalipun yang berlaku dalam dunia politik. Busuk atau wangi.

*Penulis adalah Exco Pemuda AMANAH  Nasional

CATEGORIES