Disekat masuk istana, pejabat: Mahkamah tolak bantahan awal kerajaan negeri Kelantan

Disekat masuk istana, pejabat: Mahkamah tolak bantahan awal kerajaan negeri Kelantan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak bantahan awal kerajaan negeri Kelantan berhubung isu sekatan terhadap Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah daripada memasuki semua pejabat pentadbiran dan istana.

Terdahulu, Wan Rahim memfailkan saman untuk mencabar perintah sekatan terbabit dalam surat bertarikh 27 Mei lalu yang melarang beliau dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Husam Musa masuk ke istana dan pejabat kerajaan negeri.

Mengulas kes itu, peguam Abu Daud Wan Rahim memberitahu semakan kehakiman membabitkan larangan ke atas bekas kepimpinan Pas negeri berkenaan telah ditetapkan pada 13 Disember nanti.

“Kerajaan negeri Kelantan dalam afidavit sebelum ini kata perintah larangan itu dibuat semata-mata sebab titah baginda Tuanku.

“Tapi pada Mei lepas ketika ditanya pemberita, pihak kerajaan negeri nafikan sekatan itu adalah arahan istana,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Abu Daud memberitahu kerajaan negeri Kelantan membuat bantahan awal terhadap tindakan undang-undang oleh Wan Rahim dengan mendakwa sekatan itu adalah dari arahan istana.

“Jadi, Mahkamah Tinggi hari ini membuat keputusan menolak bantahan kerajaan negeri kerana baginda Tuanku tidak mempunyai kuasa mutlak ke atas semua perkara.

“Tuanku hanya ada kuasa mutlak ke atas beberapa perkara yang disebut dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan sahaja.

Loading...

“Salah satunya adalah kawalan terhadap istana. Yang itu, adalah budi bicara mutlak Tuanku tetapi tidak termasuk untuk pejabat pentadbiran kerajaan negeri,” jelasnya lagi.