Diserang ‘anxiety’ ketika hamil, Shila Amzah akui sukar tidur

Oleh MAISARAH AISYA

Emosi wanita mengandung adalah lebih sensitif, tambahan pula perkara kecil sekalipun boleh memberi kesan buruk pada kandungan.

Walaupun bukan anak pertama namun pengalaman hamil setiap anak itu berbeza, ada yang senang malah ada juga alami kesukaran.

Begitulah juga buat penyanyi Shila Amzah yang dikatakan mengalami kegelisahan melampau atau anxiety selepas kontroversi yang melanda keluarganya.

Tidak mahu fokus akan perkara negatif, Shila berusaha untuk meletakkan masa lalunya di belakang dan memberi tumpuan kepada kandungannya.

Menerusi hantaran di Instagram, Shila mengakui sukar tidur lena selepas mengalami perubahan emosi.

“Anxiety ketika hamil bukan satu gurauan. Saya tidak mempunyai tidur yang nyenyak sejak empat hari lalu.

“Saya tinggalkan semua perkara toksik dan enggan trauma masa lalu menghantui saya lagi,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Bagi Shila, kini dia hanya fokus menjadi ibu dan isteri yang sihat buat keluarga kecilnya bersama pempengaruh media sosial, Ubai.

“Saya hanya mahu menjadi isteri dan ibu yang sihat. Itu sahaja,” tambah Shila yang kini hamil lima bulan.

Rata-rata rakan artis turut mendoakan Shila Amzah diberikan kekuatan semasa proses kehamilan kali ini.

Sebelum ini tular kontroversi mengenai rumah antara Shila Amzah serta adik beradik lain yang mencuri tumpuan umum.

Baca juga: Tak mungkin bankrap, Che Ta dedah tak pernah culas bayar cukai RM50,000 setiap bulan kepada LHDN