Malaysia Dateline

Disiasat hingga jam 4 pagi, menteri tidak serius bela nasib doktor kontrak

Sekretariat Guaman Hartal Doktor Kontrak (SG KANUN) mendapati bahawa pihak berkuasa masih terus menjalankan siasatan ke atas peserta hartal sehingga lewat malam tadi.

Penyelarasnya, Fadhli Umar Aminolhuda menegaskan intimidasi terhadap peserta hartal yang masih berlaku itu amat mengecewakan memandangkan Menteri Kesihatan semalam telah memberikan jaminan hal sedemikian tidak akan berlaku.

“SG KANUN juga terus merakamkan solidariti bersama peserta hartal di kawasan MAEPS (Taman Ekspo Pertanian Malaysia) yang telah pun disoal siasat oleh pihak berkuasa dari jam lewat 11 malam sehingga jam 4 pagi.

“Tindakan pihak berkuasa yang bertegas untuk terus mengambil kenyataan mereka pada lewat malam dan berjam-jam ini sudah tentu menyukarkan golongan doktor untuk meneruskan tanggungjawab mereka,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Terdahulu, kumpulan Hartal Doktor Kontrak melalui Twitter mereka tengah malam tadi mempersoalkan kewajaran pihak polis mengganggu barisan hadapan dengan mengambil keterangan peserta hartal kelmarin.

Mengulas lanjut, Fadhli menegaskan tidak ada sebarang siasatan yang patut dijalankan memandangkan hartal tersebut telah berlangsung secara aman.

“SG KANUN juga mendapati peserta hartal di Terengganu turut berada di bawah siasatan.

“SG KANUN menggesa pihak kerajaan dan terutama pihak pentadbir Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk menarik semula surat tunjuk sebab yang telah dikeluarkan kepada peserta hartal berdasarkan kepada jaminan Menteri Kesihatan yang diberikan di Parlimen semalam.

“Seandainya perkara ini tidak berlaku, maka Menteri Kesihatan sebenarnya tidak serius untuk membela nasib dan hak doktor kontrak di Malaysia,” tegas peguam berkenaan.

Sehubungan itu, tambahnya, SG KANUN mengingatkan pihaknya bersedia untuk memberikan bantuan guaman kepada mana-mana peserta Hartal Doktor Kontrak yang menerima intimidasi atau dipanggil oleh pihak berkuasa untuk siasatan.

“SG KANUN boleh dihubungi di hotline kami di 013-6680072,” kata Fadhli lagi.