Malaysia Dateline

Disiplin, kejujuran semua pihak penting untuk tangani pandemik Covid-19

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, disiplin dan kejujuran dalam kalangan semua pihak amat penting dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

Kata beliau, bagi mereka yang harus menjalani kuarantin diri sendiri, pastikan ia dilakukan mengikut piawaian yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang mempunyai gejala Covid-19 katanya, tampillah ke klinik dengan melalui proses yang betul sebelum membuat pemeriksaan.

“Disiplin dan kejujuran dalam kalangan semua pihak amat penting dalam kita menangani pandemik ini yang mana setakat ini amat ketara kerana Malaysia sudahpun mencatat 673 kes positif dengan hanya 49 kes yang sudah sembuh dan dua kematian,” kata Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu.

Dalam hantaran di Facebook beliau semalam itu, Wan Azizah melahirkan rasa sedih menerima perkhabaran buat pertama kalinya kematian dicatat di Malaysia disebabkan oleh Covid-19, iaitu dua kematian dilaporkan, seorang di Johor dan seorang di Sarawak.

“Takziah diucapkan kepada keluarga dua mangsa pertama Covid-19 ini, dan semoga mereka tabah hadapi ujian yang besar ini.

“Saya juga menyeru semua yang berada di Malaysia, sama ada warganegara mahupun bukan warganegara, supaya sama-sama mengikuti Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020,” kata beliau.