Malaysia Dateline

Diskaun 10 peratus tol BESRAYA, NPE dan LEKAS sempena Krismas

Pihak Pengurusan Divisyen Tol IJM menawarkan diskaun tol sebanyak 10 peratus untuk kenderaan kelas satu di tiga lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Hari Krismas, esok.

Diskaun tol itu melibatkan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di kesemua plaza tol, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) (Plaza Tol Pantai Dalam dan PJS 5) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) (Plaza Tol Ampangan).

Ketua Pegawai Operasinya Wan Salwani Wan Yusoff berkata pemberian diskaun berkenaan akan berkuat kuasa bermula pukul 12 tengah malam ini sehingga 11.59 malam esok.

“Pemberian diskaun ini adalah sebagai inisiatif tanggungjawab korporat sempena perayaan Hari Krismas bagi pengguna lebuh raya yang ingin mengambil kesempatan bercuti bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyarankan pengguna yang ingin menuju ke selatan untuk menggunakan Lebuhraya LEKAS sementara ke pantai timur pula boleh menggunakan Lebuhraya Besraya melalui Plaza Tol Loke Yew untuk ke MRR2.

Pihaknya dengan kerjasama Etika Sdn Bhd turut mengambil inisiatif mengedarkan Lipton Matcha Green Tea secara percuma di semua plaza tol Lebuhraya Besraya dari pukul 12 tengah hari esok.

Untuk merancang perjalanan lebih baik, para pengguna lebuh raya boleh mengikuti Twitter @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik dan @LEKAStrafik.– BERNAMA