Disyaki terima rasuah lulus kontrak, pengarah agensi kerajaan di Kelantan ditahan reman

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pengarah di sebuah agensi kerajaan di Kelantan ditahan reman selama dua hari kerana disyaki meminta wang suapan sebagai imbuhan bagi meluluskan kerja-kerja kontrak.

Perintah tahanan reman dikenakan ke atas pengarah yang sebelum ini ditahan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada petang Rabu itu bermula hari ini sehingga esok.

Memetik laporan Berita Harian, perintah reman terhadap lelaki berumur 58 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.

Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain memaklumkan bahawa suspek berkenaan ditahan oleh pihaknya selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di Kota Bharu, petang semalam.

Tahanan reman itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh agensi antirasuah tersebut mengikut Seksyen 16 dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, lelaki yang menutup mukanya dengan baju lokap berwarna jingga hingga menampakkan bahagian perut itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Bharu sekitar pukul 8.20 pagi dengan menaiki van SPRM.

Pengarah yang sama sebelum ini dilaporkan ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes meminta rasuah sebagai habuan meluluskan kerja-kerja kontrak kepada pelanggan bernilai hampir ratusan ribu ringgit di sebuah jabatan kerajaan.

Baca juga: Terima rasuah RM100k, anak Ketua Pembangkang mengaku tak bersalah