Disyaki terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa, MB Perlis mungkin ditahan SPRM?

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan kehadiran Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli di ibu pejabat agensi berkenaan.

Difahamkan, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis itu dipanggil ke pejabat agensi antirasuah tersebut untuk memberikan keterangannya berhubung siasatan membabitkan anak lelakinya.

Azam bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa pihaknya akan melakukan tangkapan terhadap menteri besar yang disyaki terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa itu, lapor Malaysia Kini.

Namun begitu, ahli politik berkenaan juga memiliki peluang untuk dibebaskan dengan jaminan sekiranya pihak SPRM berpuas hati dengan kenyataan yang diberikan oleh Mohd Shukri.

“Saya boleh sahkan dia (Mohd Shukri) dipanggil oleh SPRM. Ketika ini, dia ada di ibu pejabat kami dan sedang memberi keterangan kepada pegawai SPRM berhubung beberapa dakwaan berkaitan dia dan anak lelakinya.

“Saya tak menolak kemungkinan dia akan ditahan mengikut Seksyen 53 Akta SPRM. (Perkara ini akan) bergantung kepada keterangan yang diberikannya pada hari ini.

“Sekiranya keterangan itu mencukupi, maka dia akan dilepaskan dengan jaminan,” kata Azam mengulas dakwaan mengenai penahanan menteri besar terbabit oleh pihak SPRM memetik laporan Malaysia Kini.

Terdahulu, anak Mohd Shukri yang juga menantu kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang antara enam individu yang direman oleh SPRM pada Rabu, minggu lalu.

Penahanan itu dilakukan untuk membantu siasatan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkaitan tuntutan berkenaan difahamkan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Azam juga mengesahkan salah satu kes yang disiasat termasuk dakwaan tuntutan palsu bagi membekalkan minuman untuk Raja Perlis semasa baginda mendapatkan rawatan di sebuah hospital di negeri itu.

Membabitkan bayaran berjumlah RM19,505.10, difahamkan tiada sebarang air minuman yang dibekalkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seperti butiran dalam tuntutan berkenaan.

Baca juga: Tiada lagi masalah pendapatan, lelaki sertai program IPR berjaya jana RM14k sebulan jual nasi kukus