Ditahan reman gara-gara aksi Wheelie, rupa-rupanya suami baru berusia 17 tahun!

Oleh KIM SYAZIE

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang dirakam menunggang motosikal secara berbahaya telah ditahan reman selama tiga hari.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan.

Berakhir pada 30 April, perintah itu dikeluarkan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Bagaimanapun, permohonan reman terhadap isterinya yang berusia 16 tahun di tolak atas alasan sebagai saksi pertuduhan dan perlu dibebaskan.

Terdahulu, pasangan suami isteri itu tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas dua hari menyembunyikan diri.

Hal ini kerana video aksi dua remaja yang membuat aksi ‘Wheelie’ sambil menunggang motosikal itu ditularkan di media sosial.

Perlakuan yang jelas mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya itu membuatkan mereka berdua diburu oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, remaja itu berdepan dengan hukuman penjara jika disabit kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih RM15,000,” katanya.

Baca juga: “Bagus pemimpin Malaysia”, netizen Indonesia teruja PM beri tol percuma semasa Aidilfitri