Ditangkap polis kerana hina pembuat kertas soalan SPM, lelaki anggap tindakan diambil berlebihan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang lelaki menyifatkan penahanan dua pelajar lelaki yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kertas soalan Sejarah Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) agak berlebihan.

Katanya, walaupun remaja tersebut terbukti melakukan kesalahan, namun tidak perlulah sehingga diserbu dan ditangkap pihak polis.

Menurutnya, pihak polis perlu lebih memberi perhatian menyiasat dan menangkap mereka yang menyebarkan video yang berunsur hasutan khususnya perkauman.

“Yang budak tu buat salah, tapi sampai kena pergi serbu tangkap dekat rumah tu rasanya tidak perlulah. Naya sangat. Peperiksaan pun masih berjalan.

“Lepas tular dah nampak penyesalan haritu. Janganlah berlebihan dalam menghukum. Yang hasut 13 Mei dah cekup?,” kata @Injang_Nation.

Baru-baru ini, tular sebuah video melibatkan seorang remaja lelaki mengeluarkan kata-kata kesat sejurus selepas menduduki peperiksaan SPM.

Terlarut dengan emosi, pelajar tersebut bertindak menghina pembuat kertas soalan Sejarah selain turut mengeluarkan kenyataan sensitif mengenai Singapura.

Sedar akan kesilapannya, remaja lelaki tersebut bersama rakannya iaitu perakam video tampil membuat permohonan maaf menyesali tindakannya itu.

Pihak polis kemudian menahan dua pelajar sekolah menengah itu selepas menerima laporan dari guru wanita yang berusia 53 tahun.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata penahanan itu adalah untuk membantu siasatan video yang tular itu.

“Polis merampas sebuah telefon bimbit iPhone 11 dalam serbuan itu. Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dan semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau.” Katanya.

Baca juga: Jangan pakai kasut bergetah, kaki boleh patah saat main gelongsor