Malaysia Dateline

Ditawar sebagai PM, Mahathir tolak kerjasama gabungan politik ‘tak suci’

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau pernah menolak menjadi Perdana Menteri bagi gabungan Umno, Pas dan Bersatu kerana tidak mahu bekerjasama dengan kumpulan individu yang ditewaskannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Mahathir berkata, penerimaan tawaran menjadi Perdana Menteri bagi gabungan itu juga bermaksud beliau akan menghidupkan semula Umno dan menjadikannya sebahagian daripada kerajaan.

Dengan itu katanya, beliau akan mengkhianati orang-orang yang menyokongnya dalam pilihan raya, bahkan mengingkari janji kepada gabungan PH.

“Saya tidak boleh terima cadangan untuk menjadi Perdana Menteri pada gabungan politik yang ‘tidak suci’ ini.

“Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin terima kerjasama itu, saya meninggalkan kumpulannya,” katanya dalam catatan di blog chedet, hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga cuba mendapatkan persetujuan ahli Umno untuk menyokongnya selepas beliau ditawarkan untuk menjadi Perdana Menteri bagi gabungan baharu itu, termasuk sokongan Najib sendiri.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan beliau menentang gerakan tersebut, Muhyiddin pula menyokong idea tersebut dan disokong majoriti ahli Bersatu yang bersetuju dengan idea ahli Parlimen Pagoh itu.

Berdasarkan situasi itu, Mahathir menjelaskan, apabila Bersatu meninggalkan Pakatan Harapan, maka PH tidak lagi boleh menjadi kerajaan.

“Ini bermaksud kesemua Menteri kehilangan kedudukan mereka dalam Kabinet, termasuk saya sekali.

“Saya sudah kehilangan kedudukan saya sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatan hanyalah formaliti,” katanya lagi.

Sementara itu, di awal catatan beliau, Mahathir menegaskan, ketika ini kerajaan dibentuk dengan majoriti tipis dengan perbezaan dua kerusi sahaja.

Jelasnya, ini kerana sewaktu Najib Razak tewas dalam PRU14, pemimpin Umno itu tahu dirinya akan dipenjara atas kesalahan yang dilakukan.

Maka beliau telah mencadangkan kepada Pas untuk membentuk kerajaan Melayu islam.

Namun ketika itu, mereka tidak mempunyai cukup sokongan untuk menubuhkan kerajaan dan memerlukan lebih banyak sokongan Melayu.

“Dia kemudian mendakwa kerajaan PH didominasi DAP, dan DAP akan menghancurkan Melayu.

“Untuk menggulingkan DAP, Kerajaan PH mesti digulingkan. Untuk ini Bersatu terpaksa meninggalkan PH. Maka mereka harus bergabung dengan Umno dan Pas untuk membentuk kerajaan baru.

“Dan hari ini saya dilucutkan dari keahlian Bersatu serta jawatan Pengerusi. Saya telah pergi ke mahkamah untuk mempertikaikan kesahihan pemecatan saya,” katanya lagi.