Malaysia Dateline

Ditawarkan gaji RM4,000, ibu risau anak tak dapat dihubungi selepas 3 bulan kerja

Begitu senang sindiket pekerjaan mencari mangsa untuk dijadikan scammer, mereka yang menjadi mangsa ini kebanyakan terpengaruh dengan gaji yang ditawarkan.

Malah operasinya sindiket penipuan ini hampir sama, mangsa ditawarkan gaji yang tinggi tanpa perlu membuat kerja yang sukar.

Seharusnya rakyat Malaysia perlu sedar dengan penipuan kerja kerana ini bukanlah kali pertama ia berlaku malah media sendiri banyak melaporkan hal tersebut di sosial media.

Kesukaran untuk menghubungi anak selepas tiga bulan memulakan kerja jauh daripada pangkuan keluarga, si ibu, Hasni dari Kemaman mulai resah.

 “Pada Julai lalu, anak ada menyatakan hasrat untuk bekerja di Johor Bahru dan saya izinkan.

“Namun selepas tiga bulan dia gagal dihubungi sehingga membuatkan kami sekeluarga risau,” kata wanita berusia 53 tahun itu.

Kali terakhir anaknya, Muhamad (bukan nama sebenar), 26, menghubunginya adalah pada awal Oktober lalu untuk meminta mengirimkan pasport kerana mahu bekerja di Singapura namun gagal menghubunginya selepas itu.

Hasni memaklumkan keluarganya pernah berjumpa rakan Muhamad di kampung untuk menanyakan mengenai anaknya namun tiada siapa berhubung dengan Muhamad.

“Pada awal Januari, Muhamad menghubungi adik perempuannya dan meminta bantuan supaya diselamatkan kerana diperdaya oleh sindiket pekerjaan di Myanmar,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Semalam media melaporkan, Muhamad bersama seorang lelaki berbangsa Cina berusia 33 tahun, dan wanita berusia 19 tahun yang merupakan mangsa sindiket penipuan kerja di Myanmar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas dibawa pulang menerusi Bangkok.

Difahamkan, mereka terpedaya dengan tawaran kerja gaji lumayan menerusi iklan di Facebook dalam bidang pemasaran forex (mata wang asing) yang menjanjikan keuntungan RM4,000 sebulan.

Baca juga: ‘Kata Family, tapi seorang je kerja’, wanita persoal mana pekerja lain di kedai serbaneka ni sampai pelanggan beratur lama