Ditawarkan RM150 untuk ‘shooting’ 4 hari, pelakon veteran luah rasa kecewa dengan industri seni

Oleh MAISARAH AISYA

Seharusnya pelakon veteran inilah yang menerima bayaran tinggi dek kerana impak lakonan mereka membawakan watak dengan jayanya.

Namun industri seni kini lebih mementingkan paras rupa berbanding bakat hingga munculnya pelakon dengan emosi yang kurang meyakinkan di kaca televisyen.

Ini bukanlah pelakon veteran pertama yang meluahkan tentang kadar bayaran daripada produksi filem atau drama tapi masih juga timbul isu tersebut.

Pelakon Hamidah Wahab akui tidak tahu di mana silapnya hingga tiada tawaran berlakon untuk membintangi drama mahupun program TV lain selama 10 tahun.

Menurut Harian Metro, Hamidah yang sudah berlakon sejak 1974 sering menerima tawaran berlakon namun segalanya berubah lepas diminta kadar bayaran dinaikkan.

“Sekarang sudah 10 tahun tak dapat tawaran. Itu yang jadi tanda soal besar. Saya tertanya-tanya adakah kami terlalu sangat lama, orang sudah jemukah, tak tahu nak cakap.

“Kenapa jadi begitu? Adakah prestasi lakonan saya kurang, pelakon-pelakon baharu naik, mungkin pasal bayaran. Pada mereka mungkin lebih baik ambil pelakon tambahan untuk watak mak-mak supaya bayaran sedikit.

“Ada beberapa pelakon lama yang masih ada seperti Datuk Fauziah Nawi dan Wan Maimunah turut mengadu perkara sama.

“Tapi saya nampak mereka ada juga tawaran berlakon lagi. Untuk saya, terus senyap,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dapat tawaran tapi bayaran terlalu rendah

Sepatutnya mereka ini dibayar mengikut prestasi dan pengalaman berlakon namun masih ada mengambil kesempatan untuk bayar harga murah.

Baru-baru, Hamidah mengakui terkilan apabila ada tawar-menawar terlalu murah nak bayar RM150 untuk penggambaran empat hari.

“Bukan tak nak ambil, saya minta juga naikkan sedikit, janganlah sampai begitu. Saya memang senyapkan saja kerana memang tak berbaloi. Tidak setimpal dengan modal pengalaman dan cara kerja yang saya ada.

“Sedihlah bukan saya seorang, saya bercakap bagi pihak artis-artis lama secara keseluruhan. Tolonglah hargai kami,” katanya.

Ada pendapatan lain

Hamidah bagaimanapun bersyukur masih ada punca pendapatan lain apabila terbabit bekerja dengan syarikat yang menguruskan jemaah ke Makkah.

“Saya memang ada alternatif lain. Selain berlakon, ada juga kerja sampingan saya buat. Saya luangkan masa pergi balik ke Makkah. Tak adalah susah sangat, terlebih fikir tiada tawaran lakonan.

“Tak bolehlah bila tak berlakon, nak lepak tidur saja kat rumah, sangat ‘down’. Oh tidak, itu bukan cara saya.

“Walaupun tak ada tawaran, saya tetap akan buat sesuatu kerja yang boleh cergaskan otak,” tambahnya.

Baca juga: Datuk Red rupanya dah 5 tahun muflis, tebalkan muka buat akaun TikTok demi cari kerja sara keluarga