Ditegur wajah nampak sugul, Fattah Amin belum sedia nak cerai Fazura, mahu selesai cara baik

Oleh MAISARAH AISYA

Pastinya tiada seorang pun yang akan gembira menghadiri prosiding bagi kes penceraian jadi tak terkejut ada yang berwajah sugul.

Ramai peminat terkejut apabila pelakon Fazura memfailkan cerai terhadap suami yang juga pelakon Fattah Amin pada 13 September lalu di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari.

Hanya diiringi peguam, Zulkifli Che Yong, Fattah dilihat tidak bermaya ketika ditemui media lapor Kosmo! Online.

“Saya ada perasaan, bukan robot,” ringkas jawapan Fattah seperti dipetik Kosmo! Online.

Ketika disoal mengapa Fazura memfailkan cerai sehari sebelum hari lahirnya, sehingga kini Fattah tidak ada jawapannya dan mengaku rasa sedih akan penceraian yang difail isterinya.

“Itu tak boleh tanya saya kenapa sehari sebelum.

“Tentu ada rasa sedih. Tolong faham diri saya. Itu sahaja, terima kasih. Teruskan doa yang baik-baik,” tambahnya.

Pada masa sama, Zulkifli memaklumkan Fattah belum bersedia untuk bercerai dengan Fazura.

“Dalam mahkamah, pihak defendan (Fattah), menyatakan belum bersedia untuk bercerai secara baik.

“Insyaalah saya doakan kedua dua-dua belah pihak supaya selesai secara baik,” kata peguam itu.

Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia tiga tahun.

Baca juga: Fazura hadir ke mahkamah, dikawal 5 pengawal peribadi – “Alhamdulillah saya tenang”