Malaysia Dateline

Dituduh buat hantaran jelik, Fahmi Reza mengaku tidak bersalah

Aktivis, Fahmi Reza hari ini mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik di Facebook berhubung isu pengharaman jualan minuman keras di negara ini.

Pereka grafik dengan nama sebenarnya Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin itu memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Dia yang memaklumkan perkembangan kes itu di Facebook sebentar tadi turut menggunakan tanda pagar #AktaSakitHati dan #SatireIsNotACrime

“Hakim tetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000. Aku tengah tunggu untuk diikat jamin. Dibebaskan kejap lagi,” katanya sambil berkongsikan paparan pertuduhan yang dibacakan.

Fahmi Reza komunikasi jelik di Facebook
Fahmi Reza

Gambar yang dihasilkannya itu memaparkan dua tin minuman keras jenama Carlsberg dengan salah satunya menyerupai lambang bendera sebuah parti politik.

Fahmi didakwa melakukan kesalahan itu melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan profil ‘Fahmi Reza’ pada jam 11.45 pagi, 1 Jun tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Fahmi didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Penghantaran komunikasi itu dibaca pada jam 9 pagi, 2 Jun 2021 di sebuah unit di alamat B-16-04 Pangsapuri Melur, Jalan 2/48A Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur.

Jika disabitkan kesalahan, Fahmi boleh dihukum maksimum denda RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.