Dituduh bunuh pelajar, Deputi Superintendan Mohd Nazri diberi ‘layanan istimewa’?

Oleh WAN SITI AMINAH

Ketibaan Deputi Superintendan Polis (DSP) Mohd Nazri Abdul Razak di Mahkamah Majistret Ipoh, pagi tadi telah menimbulkan perbincangan hangat dalam kalangan petugas media.

Mana tidaknya, Mohd Nazri yang merupakan suspek pembunuhan pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie itu diberi kawalan ketat oleh pihak polis.

Petugas media turut meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat membuat liputan secara meluas berhubung kes pembunuhan melibatkan pegawai kanan polis itu, lapor Berita Harian.

Bayangkan, seramai kira-kira 30 petugas media telah mula berkumpul di kawasan mahkamah tersebut pada seawal jam 7.30 pagi hanya untuk menunggu ketibaan suspek.

Kumpulan pegawai polis kemudian dilihat berkawal di perkarangan Mahkamah Ipoh sebelum enam kenderaan bercermin gelap milik anggota beruniform berkenaan tiba di kawasan itu.

Seorang individu tidak diketahui identiti kemudian dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari di belakang, mengenakan baju kemeja -T bewarna putih dan berseluar hitam.

Bukan itu sahaja, individu berkenaan turut memakai pelitup muka hitam serta kain seakan pakaian ‘hoodie‘ menutupi keseluruhan wajah sambil dikelilingi sekumpulan anggota polis.

Tindakan ini dilihat seolah-olah sengaja mencuba untuk menghalang para pengamal media menjalankan tugas mereka bagi merakam wajah orang kena tuduh (OKT) di mahkamah.

Malah ketika prosiding di dalam mahkamah dimulakan, hanya seorang pengamal media mewakili setiap agensi sahaja dibenarkan masuk ke kamar perbicaraan yang turut dikawal polis.

Sebaik selesai pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh, individu itu turut dibawa keluar dengan pantas menaiki kenderaan pacuan empat roda bercermin gelap.

Kereta dipercayai dinaiki suspek itu kemudian diiringi empat kenderaan lain yang dipandu laju ketika keluar mahkamah melalui tempat pengamal media berhimpun untuk merakam visual.

Sehubungan dengan itu, rata-rata pengamal media menyifatkan liputan kes terbabit tidak dapat dibuat secara bebas, tidak seperti kes-kes bunuh lain yang dituduh mengikut akta yang sama.

Terdahulu, tertuduh Mohd Nazri Abdul Razak didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zaharif di Jalan Taman Jati 1, antara jam 12.05 hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Deputi Superintendan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.

Jika tidak dihukum mati, tertuduh yang terbukti bersalah hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Baca juga: Pegawai kanan polis didakwa atas kes bunuh, tuntutan netizen terkabul – “Nyawa dibalas nyawa”