Dituduh cari perhatian – Ini reaksi ‘pedas’ Lando Zawawi

Oleh ARIF ATAN

Aktivis keselamatan jalan raya, Lando Zawawi, 47, tampil dengan reaksi ‘pedas’ terhadap kecaman pihak tertentu yang menuduhnya hanya mencari perhatian orang ramai.

Bekas calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerusi Parlimen Tanjong Karang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu selamba meminta individu berkenaan menyimpan sifat bodoh yang dimiliki.

“Hari hari orang buat dosa. Hari harilah ustaz bagi nasihat. Adakah itu mencari perhatian atau tanggungjawab?

“Jarang wa bagi buah simple,” bidasnya menerusi hantaran di Facebook beliau.

Terdahulu, seorang individu nampaknya tidak senang dengan Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood (Brotherhood) itu yang secara konsisten membangkitkan isu jalan rosak.

“Tak boring ke bro? Sampai ke tua pun kau takkan selesaikan masalah jalan berlubang ni.

“Berhentilah bro. Cukuplah tu cari perhatian orang ramai,” katanya.

Lando yang juga Pengasas Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia mendapat perhatian orang ramai atas tindakannya yang kerap turun padang menampal sendiri jalan raya yang rosak.

Beliau atau nama sebenarnya, Azlan Sani Zawawi sebelum ini pernah berlakon dalam drama bersiri popular, Roda-Roda Kuala Lumpur selain filem Bohsia dan Akademi Polis.

Meraih perhatian warga maya atas kelantangannya bersuara mengenai isu jalan berlubang, Lando mempunyai lebih 500,000 pengikut di Facebook.

Namun, dalam keputusan PRU15 lalu, Lando hanya memperoleh 3,557 undi sekaligus tewas kepada Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN) yang meraih 18,054 undi.

Baca juga Tuduh Anwar ejen Israel, Bukit Aman buka kertas siasatan terhadap Hadi

Baca juga Lelaki ini nekad berhenti kerja sebab nak tengok World Cup Qatar katanya…