Dituduh ‘curi’ budaya Indonesia, netizen seberang ugut nak culik anak Nabila Huda

Oleh WAN SITI AMINAH

Tiada angin tiada ribut, pelakon terkenal Nabila Huda tiba-tiba menerima ugutan daripada seorang individu dipercayai rakyat Indonesia.

Menerusi satu ciapan di platform media sosial X, individu tersebut mendakwa pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi itu telah mencuri budaya negara kelahirannya.

Tegas individu terbabit, anak perempuan Nabila iaitu Keisha Laila bakal menjadi sasaran sekiranya pelakon berkenaan tidak berhenti ‘mencuri’ budaya Indonesia.

Tidak boleh dipandang rendah, ugutan seperti itu sudah tentunya membuatkan wanita yang berusia 39 tahun itu merasa bimbang akan keselamatan keluarganya.

“Nabila Huda adalah ‘claimer’ nombor satu, pencuri budaya Indonesia!

“Saya akan culik anak awak kalau awak masih ‘claim’ budaya Indonesia,” tulis pelayar laman X tersebut sebelum menetapkan akaunnya ke mod privasi.

Pada masa yang sama, pemilik nama sebenar Nabila Huda Suhaimi itu meminta para pengikut untuk mewakilinya dalam memberi respon kepada pemilik akaun tersebut.

Akaun individu itu bagaimanapun sudah tidak dapat diakses lagi selepas diletakkan dalam mod privasi dipercayai bagi mengelakkan dirinya diserang oleh peminat Nabila.

Tinjauan mendapati, rata-rata pengikut menyelar tindakan individu itu kerana tidak peka dengan persamaan budaya akibat asimilasi yang berlaku di negara-negara Nusantara.

Ramai juga pengguna media sosial menyarankan agar Nabila membuat laporan polis demi keselamatan ahli keluarganya terutama Keisha yang baru berusia 13 tahun.

“Ini yang susah apabila rakyat Indonesia buta sejarah. Sedangkan, asimilasi budaya terjadi di negara-negara Nusantara. Rendang, kebaya, batik itu BUDAYA NUSANTARA,” kata seorang pengguna.

“Sudah buat laporan polis? Sudah ugut nak culik anak ini bukan main-main walaupun dia duduk nun jauh di sana. Bab anak jangan main-main,” kongsi pengguna lain.

“Dia ingat dunia ini semua milik negaranya agaknya. Jerubu sahaja yang dia tak nak ‘claim’.” Seloroh seorang pengguna.

Baca juga: Fila kecewa perkahwinan dengan suami Afrika masih dikecam netizen, dihina pilih suami ‘asal boleh’