Dituduh lakukan jenayah seksual, PU Azman akui masih terima jemputan ceramah

Oleh KIM SYAZIE

Pendakwah selebriti, PU Azman mengaku masih berkerja seperti biasa meskipun sedang menghadapi pertuduhan seksual di mahkamah.

Menurut pemilik nama penuh Azman Syah Alias itu, tawaran dan jemputan untuk memberikan ceramah masih diterimanya sehingga ke hari ini.

Namun begitu, pemuda yang berusia 42 tahun itu kini lebih bersikap tertutup dan jarang berkongsi aktivitinya di platform media sosial.

“Job (tawaran kerja) masih macam biasa, cuma tak kongsi di media sosial. Jemputan ceramah (juga) seperti biasa,” katanya memetik Mstar.

Hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi menghadapi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal, PU Azman kelihatan semakin kurus.

Menyangkal dakwaan dirinya tertekan, juara rancangan realiti agama Pencetus Ummah (PU) itu sebenarnya mengamalkan diet.

Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu juga sering menghabiskan masa yang terluang dengan melakukan aktiviti mendaki.

Keadaan fizikal terkini PU Azman

“Ramai tanya kenapa saya kurus. Saya diet. Aktiviti juga seperti biasa. Saya banyak pergi hiking (mendaki).” Jelas PU Azman.

Penceramah yang lebih dikenali sebagai Cik Man itu berdepan dengan lima tuduhan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Cik Man dituduh melakukan perbuatan kelucahan melampau ke atas mangsa yang berusia 16 dan 17 tahun itu pada 6 Julai lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tandas dan ruang tamu di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, Nilai, Seremban, Negeri Sembilan.

Seramai 12 saksi termasuk doktor, ibu bapa, mangsa dan pegawai penyiasat dijangka bakal dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pu Azman turut berdepan dengan tujuh pertuduhan jenayah seksual lain terhadap dua kanak-kanak dan seorang remaja di Mahkamah Shah Alam, Klang dan Ampang.

Baca juga: Michael Ang berang penyanyi antarabangsa buat hal, peminat bayar untuk dengar nyanyian bukan ideologi