Diuji lepas 16 tahun tunggu zuriat, lelaki hilang isteri dan bayi kembar 4 akibat dibom Israel

Oleh WAN SITI AMINAH

Hati bapa manakah yang tidak hancur apabila zuriat yang dinantikan selama 16 tahun menjadi mangsa korban kekejaman tentera Israel.

Diuji dengan cukup hebat, lelaki yang dikenali sebagai Fadi Khaled al-Baba itu turut kehilangan isterinya dalam insiden pengeboman di Gaza, Palestin, beberapa hari lalu.

Hanya sempat melalui episod bahagia dalam masa sebulan, Fadi dan isterinya, Wafa baharu sahaja menyambut kelahiran kembar empat mereka pada 7 September lalu.

Keempat-empat zuriat yang diberi nama Khaled, Abdul-Khaliq, Mahmoud dan Maha itu malangnya terkorban bersama Wafaa apabila kediaman mereka dibedil Israel.

Difahamkan, ahli keluarga Fadi itu tinggal di kawasan kejiranan Sheikh Radwan iaitu salah sebuah daerah di Gaza yang terletak hampir tiga kilometer dari pusat bandar.

Salah seorang saudara Fadi, Yafa Abu Bakar berkata, Wafa dan suaminya akhirnya dikurniakan zuriat selepas bertahun menanti dengan kesabaran, lapor Watan Serb.

Selepas empat bayi itu selamat dilahirkan, Fadi merasa sangat gembira sehingga tidak menghiraukan perkara lain selain daripada bercakap mengenai anak-anaknya.

“Dia (Fadi) tidak bercakap tentang apa-apa selain daripada perkara mengenai anak-anaknya. Dia tidur dan bangun di sebelah mereka.” Katanya memetik laporan Waran Serb.

Fadi kemudian dengan tabah mengebumikan jenazah isterinya dan keempat-empat zuriat mereka meskipun serangan udara daripada tentera Israel di masih berterusan.

Israel menjalankan kempen serangan udara dan artileri ke atas Gaza sejak serangan Hamas yang menyaksikan sekurang-kurangnya 1,400 maut dan 199 dijadikan tebusan.

Konflik kali ini menyaksikan lebih 4,000 orang terbunuh dan puluhan ribu orang cedera dalam serangan udara tentera Israel terhadap rakyat Palestin di bumi Gaza.

Baca juga: Didie Alias dedah pelakon baru dapat bayaran sampai RM5k satu episod, tapi pelakon lama dibayar RM100 je satu babak