Keterujaan seorang remaja lelaki untuk mencari kerja bertukar menjadi tragedi apabila menyedari dirinya terperangkap di dalam rumah individu tidak dikenali.
Tidak hanya dikurung selama 10 hari, remaja berusia 18 tahun itu turut diliwat beberapa kali oleh lelaki yang menawarkannya bantuan untuk mencari pekerjaan.
Malang tidak berbau, remaja berkenaan mulanya berkenalan dengan suspek melalui aplikasi media sosial sebelum ‘diumpan’ untuk berjumpa dengan tawaran kerja.
Selepas beberapa hari berkenalan, remaja yang tinggal di Bukit Jalil itu dibawa bermalam ke rumah suspek yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Keesokkan harinya, lelaki tersebut menunaikan janjinya dengan membawa remaja malang berkenaan ke sebuah pasar raya berdekatan untuk mencari kerja.
Namun, episod hitam dalam kehidupan remaja lelaki itu bermula apabila mereka kembali semula ke rumah suspek setelah pulang daripada pasar raya tersebut.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian ngeri dipercayai berlaku pada pertengahan bulan lalu itu dibongkarkan oleh seorang sumber yang enggan dikenali.
“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan menaiki kenderaan suspek yang mengambilnya di rumah mangsa di Bukit Jalil.
“Bagaimanapun ketika berada di rumah suspek mangsa diarahkan melakukan kerja rumah dan tidak dibenarkan pulang.
“Malah dia dikurung di rumah terbabit selama 10 hari di mana sepanjang itu mangsa turut diliwat beberapa kali,” katanya.
Sumber tersebut turut memaklumkan bahawa sebelum dibenarkan pulang, mangsa sempat diugut oleh suspek untuk tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.
Mangsa yang mengalami trauma itu hanya menceritakan kejadian tersebut kepada keluarga baru-baru ini sebelum dibawa membuat laporan polis pada awal minggu lalu.
Dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.
Difahamkan, pihak polis telah mengenal pasti suspek dan siasatan kes masih dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada tangkapan dilakukan setakat ini. Kita dalam proses pengesahan keterangan mangsa dan menunggu hasil pemeriksaan doktor.” Ulasnya.