Sambutan Ramadhan tahun ini membawa keberkatan besar kepada golongan pekerja di negara ini apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Ekoran itu, pelbagai pihak menyambut baik dividen KWSP yang diumumkan hari ini dengan menyifatkannya sebagai yang terbaik pernah diterima.
Mereka mengulas pengumuman dividen sebanyak 6.3 % untuk kedua-dua akaun, konvensional dan syariah.
“Alhamdulillah terima kasih KWSP. Bagi saya ia petanda ekonomi kita lebih baik kerana biasanya bila ekonomi baik, pulangan pelaburan kita baik,” kata Nurul Iman Amran, 34, pekerja sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya.
Pandangan Nurul Iman turut dikongsi oleh aktivis media sosial, Najib Bakar.
“Petanda ekonomi negara semakin baik terus diterjemahkan dengan pengumuman dividen KWSP bagi tahun 2024,” katanya.
KWSP mengumumkan dividen 6.3% semalam untuk kedua-dua kaunter, konvensional dan syariah.
Ini adalah dividen syariah kedua tertinggi selepas 6 tahun berada di bawah paras 6%.
“Sikit lagi nak potong dividen syariah tertinggi tahun 2017 pada tahun mula diperkenalkan iaitu 6.4%,” kata Najib.
Dan dividen KWSP shariah serta konvensional kali ini sama nilainya buat pertama kali.
Sebelum ini dividen untuk akaun syariah sentiasa lebih rendah dari konvensional.
“Jadi, tiada alasan lagi untuk umat Islam tidak beralih kepada (akaun) syariah.
“Terima kasih PMX dan Kerajaan Madani,” katanya.