Malaysia Dateline

Dividen LTAT meningkat hasil penstrukturan PH

Kejayaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menerima dividen yang tinggi pada tahun 2020 membuktikan pelan penstrukturan bagi memperbetul masalah urus tadbir badan itu semasa kerajaan PH menerajui pemerintahan melalui Pelan Transformasi LTAT membuahkan hasil.

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil dalam kenyataannya kepada Malaysia Dateline hari ini berkata, kelemahan pentadbiran Barisan Nasional (BN) telah membawa kepada kemerosotan dan kegagalan tadbir urus LTAT yang amat membebankan.

Malah katanya lagi, bekas Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed mendedahkan bahawa terdapat dua urus niaga yang telah dijalankan tanpa mematuhi piawaian pelaporan kewangan Jabatan Audit Negara(JAN) oleh pentadbiran BN dalam laporan kewangan tahun 2017.

“Rosot nilai sebanyak RM88. 9 juta tidak dilaporkan, malah untung bagi tahun 2017 sengaja ditokok tambah dengan melaporkan keuntungan sebanyak RM203 juta daripada transaksi hartanah yang belum diselesaikan.

” Masalah ini telah menyebabkan LTAT menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM31. 6 juta dan memberi implikasi besar kepada kewangan organisasi dan tindakan tidak bertanggung jawab pentadbiran BN yang membayar dividen tinggi ketika LTAT menanggung kerugian besar demi mendapat skor politik pada tahun 2017 telah memburukkan lagi tadbir urus LTAT yang telah lemah.

“Pentadbiran baharu LTAT semasa PH memerintah telah pun memperkenalkan Pelan Transormasi LTAT bagi mengatasi masalah tadbir urus kewangan LTAT dan pelan ini menekankan aspek pengimbangan pelaburan semasa, menambah baik tadbir urus korporat serta pengurusan risiko LTAT dalam tempoh jangka panjang, “tegas beliau.

Faiz yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional turut berkata, kelemahan tadbir urus LTAT sebelum ini telah menyebabkan kadar dividen yang diberikan untuk ahli hanyalah dua peratus pada tahun 2018.

Namun begitu katanya, selepas Pelan Transformasi LTAT dilaksanakan, kadar dividen bagi ahli meningkat kepada 2.5 peratus pada tahun 2019 dan kini meningkat kepada 3.5 peratus pada tahun 2020.

Sehubungan itu ujar beliau, ternyata kejayaan LTAT hari ini adalah hasil usaha sama kepimpinan LTAT dan kerajaan PH untuk mengembalikan integriti dan kecekapan tadbir urus LTAT.

Jelas Faiz, ianya sepertimana yang telah diakui oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri pada 11 Mei 2021 bahawa faktor LTAT mampu memberi dividen yang tinggi pada tahun 2020 adalah hasil kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi melalui pelan tersebut.

Justeru itu tambah Faiz, dakwaan yang mengatakan kerajaan PH tidak berjaya mengatasi kelemahan tadbir urus LTAT adalah tidak berasas.

Maka itu, katanya lagi bagi memastikan Pelan Transformasi LTAT dilaksanakan secara telus, Ismail Sabri digesa supaya membentangkan kepada Ahli Parlimen status terkini pelaksanaan pelan tersebut serta hala tuju utama Kementerian Pertahanan dibawah kepimpinan PN bagi mengekalkan prestasi dan integriti LTAT untuk tempoh mendatang.